Selamat datang ke Blog Afdalila Abas :)

'Tegaknya rumah kerana tiang dan tegaknya manusia kerana kaki'.

Selamat datang ke Blog Afdalila Abas :)

' Pucuk dicita ulam mendatang' .

Selamat datang ke Blog Afdalila Abas :)

'Tak kan Melayu hilang di dunia'.

Selamat datang ke Blog Afdalila Abas :)

Kepakaran saya adalah menghasilkan rekabentuk senibina yang bermanfaat untuk penghuni kediaman dan binaan premis perniagaan yang mesra alam, mesra pengguna, universal design, dan mencakupi elemen-elemen penting untuk iklim tropika serta sejajar dengan garis panduan senibina dalam Islam. - Afdalila Abas

Friday, September 26, 2014

Bukan main buat, tidak main letak .

Rekabentuk bukan sebarang binaan  |  Teks: afdalila abas

Tanpa had. satu ayat yang cukup lazim memberi gambaran kreativiti. Begitulah juga rekabentuk binaan. Apa yang kita semua perlu tahu rekabentuk mempunyai banyak kategori dan konsep. Juga ikutan semasa dan tema serta gaya. Rekabentuk boleh dihasilkan mengikut kehendak seadanya, namun hakikatnya, yang akan direalisasi perlu jua mengikut kedapatan sumber sedia ada.

Kehendak manusia perlu ada yang memberi panduan. Tanpa panduan berlakulah salah guna. Di sini lah peranan arkitek, sebagai perekabentuk binaan mengikut garis-garis panduan dan keperluan yang ditekan oleh pihak-pihak berwajib serta mengikut tabii kehidupan dan gaya hidup yang memberi fungsi kepada ruang rekaan.
Apa yang membezakan rumah binaan biasa dan rumah yang binaanya direka oleh arkitek ialah sentuhan ilham dan estetika yang diketengahkan berdasarkan prinsip dan teori senibina.

Cuba jawab soalan dibawah.
Jom kita belajar sama-sama.
1) Senibina islamik adalah dengan menghias ayat Quran pada dinding sebagai hiasan kekal ?

2) Senibina moden menggunakan komponen-komponen elektronik? atau bahan kaca?

3) Senibina hijau alam sekitar menanam pokok dan rumput di atas bumbung rumah?

Jika jawapan anda Ya. Pastinya kerja mudah untuk merekabentuk apa jua binaan sesuka kita. Hakikat sebenar jawapannya adalah , Mungkin atau Tidak perlu.

Bila ada yang bertanyakan saya sesuatu mengenai duduk letak atau komposisi apa-apa bahan dekorasi yang baru dibeli, ditempah dan dibuat untuk rumahnya, ia sukar dijawab satu persatu semudah memberi arahan. Asbabnya komposisi senibina ini ialah sesuatu yang bersifat holistik iaitu menyeluruh. Persekitaran dan konsep keseluruhan perlu dititik beratkan sekali. Itulah bezanya nasihat  dari yang pakar dengan pandangan orang biasa.
Bukan main buat, tidak main letak!

Dapatkan nasihat dekorasi Rumah Muslim percuma dari saya dan dapatkan rekaan kaligrafi kufi di atas ini sebagai cenderamata kepada 10 orang terawal.

Thursday, September 25, 2014

Aksi untuk legasi sendiri ?

Teks: Afdalila Abas


Rasa baru semalam saya meminta izin suami untuk bersama bergabung dengan ABDR , berdaftar dan cuba mengorak langkah perlahan. Cubaan mencipta legasi. Pejam celik, September sudah di penghujung. Bulan ini suami banyak dijemput menghadiri kursus dan program di pusat bandar. Saya dan suami kerap turun ke sana memenuhi tuntutan urusan kerja dan saya setia menjadi teman perjalanannya.


Pusat bandar kota kinabalu dan kediaman kami di kaki gunung kinabalu, bukanlah sejengkal. Memakan masa beberapa jam untuk ke sana, jalan pula penuh liku bergunung-ganang. Bulan ini hampir sahaja 10 kali kami turun bermalam, check in sana dan sini, bertukar selera apa hotel yang ada. Rasa seperti pelancong pun ada!


Setiap kali turun menemani suami, saya turut sibuk mengatur masa dan  jadual dengan fleksibel. Mencuri peluang yang ada untuk ke majlis ilmu, menghadiri seminar-seminar semasa,  mengadakan kelas renang dan bertemu kawan-kawan. Meluaskan jaringan kenalan.

Seronok dan bebas, walaupun kelihatan sibuk!


Itulah yang menjamin untuk saya terus bersama ABDR. Namun hampir terpaksa mencuri masa untuk menyiapkan tugasan entri yang diberikan. kehilangan idea, serabut dan penat sedikit mengganggu. Tahun lalu saya membaca post mentor saya ini : Suami berkursus, isteri bercuti , kini saya sendiri yg mengalaminya. Impian menjadi nyata. Ketika saya menulis post ini, saya tersenyum bangga penuh inspirasi menonton rancangan Wanita Hari Ini, di bilik hotel. Figura selebriti Kris Dayanti sedang mempromosi legasi kerjayanya yang lewat 16 tahun berlalu. Legasi kita bagaimana?


Sejak bersama ABDR, saya dihujani peluang yang bertubi-tubi membahagiakan, sehinggakan saya lemas kehilangan fokus. Mujurlah mentor Puan Masayu tidak jemu menelunjuki jalan-jalan menguruskan rezeqi , ruang dan peluang. Masih saya menyesuaikan diri dengan hari-hari ibarat merpati terbang bebas ini. Mahu bertukar menjadi helang terbang tinggi pula!


Pengalaman dalam bidang senibina membuatkan saya tidak teragak-agak untuk memberi khidmat senibina kepada kenalan sekeliling. Menjadikan pengalaman ini sebagai kepakaran yang akan mengukir legasi itu sudah semestinya. Insyallah.


Pada awalnya, saya tidak cukup berkeyakinan kerana faktor geografi kediaman saya jauh di seberang laut china selatan, karib di puncak tertinggi asia tenggara, gunung kinabalu. Kerja-kerja projek senibina dalam pengetahuan dan pengalaman yang lalu, memerlukan on site supervision. Tidak mungkin saya terpaksa terbang ke sana-sini untuk menawarkan khidmat senibina. Alhamdulillah, mentor memberi tunjuk ajar dan bantuan info yang sangat berguna, tanpa perlu pusing atau terbang ke mana sekalipun, tidak menang tangan terus memberi manfaat. Terima kasih ABDR.


Hari-hari setahun jagung ini saya kembali sibuk, mengumpul semula portfolio-portfolio rekabentuk, rujukan untuk memberi khidmat dan konsultasi harian berkisar rekabentuk senibina yang saya tawarkan kepada pelanggan. Saya mula membuka tawaran menerima tempahan rekabentuk seperti penataan dalaman rumah, ubahsuai rumah dan dapur, hiasan laman dan taman secara kecil-kecilan atau binaan rumah baru hingga skala projek perumahan beberapa pintu untuk tanah individu.


Memuatnaik kerja-kerja lepas yang pernah dibuat. Menambah baik mutu hasil kerja dan kemahiran yang ada. Memperbaharui pejabat baru, firma sendiri. Menfokuskan matlamat dan menyenaraikan kerja-kerja yang perlu ditambahbaik. Seketika rehat dari aktiviti dan kerja harian, rasa seperti tersedar dari lamunan. Urusan-urusan ini tak ubah rasanya seperti urusan berpindah ke luar negara!






Ada destinasi baru sedang dituju. Legasi.

Saturday, September 20, 2014

Beli belah atas talian


Beli Belah Atas Talian  I  Teks : Afdalila Abas


Kata orang , kalau tidak ke kedai maka bolehlah kita jimatkan duit.
Kata orang, kalau tidak keluar cari makan, alamatnya kebulur lah kita.

Bagi saya itu semua kata orang dulu-dulu. Hari ini, saya ajak anda senyum sama-sama. Senyum sinis. Hakikatnya kini, duit dan barangan boleh bertukar milik di mana-mana dan bila-bila masa :)


Dunia di hujung jari.

Pernah tengok episod bertajuk Usahawan Muda dalam siri animasi Upin dan ipin? bagus untuk pendedahan pada anak-anak kita. Suka saya kongsikan disini , penceritaan animasi tersebut dimana watak salleh mengajarkan Mail dan upin ipin akan selok belok berjual beli atas talian. Berkongsi pengalaman bisnes di dunia maya tanpa sempadan. Apa saja dapat dijual dan dibeli dengan satu klik, jika ada penjual dan pembeli yang sudi. Everyone can sale and shop!

Masih ingat belian atau jualan pertama kalian?
Belian pertama saya atas talian ialah tiket pergi balik penerbangan domestik tambang murah pada tahun 2003. Hampir ketagih dibuatnya. Bayangkan tiket semurah rm1 sahaja! Saya berjaya dan setia membeli beberapa tiket lain lagi dengan harga istimewa, sungguh teruja!


Belian barangan pertama?
Lupa langsung, terlalu banyak yang telah saya beli secara online, terutama barang bayi kerana saya agak kekok di mana untuk saya membeli belah di pasaran tempatan sabah ketika setahun pertama berpindah ke sini. Barang yang masih segar dalam ingatan saya ialah set bersalin Tropical herbs dari Amway yang susah dicari di pasaran luar hingga terpaksa saya beli melalui internet. Rezeki bayi buat kami, kami di beri hadiah promosi pembuat salad serbaguna yang sangat membantu kerja dapur saya hingga ke hari ini. Hari ini saya memudahkan ibu-ibu berpantang mendapat set bersalin tersebut. Apalagi, melalui jualan atas talian juga! 


Facebook : Little caliphee

Belian online memerlukan kita komunikasi 2hala yang jelas, kepercayaan yang tinggi dan taruhan harapan penuh rasa waspada. Perlu juga kita dapatkan saranan dari pihak luar atau respon pelanggan terdahulu yang sudah ada pengalaman berurusniaga dengan pihak penjual. Ini memudahkan proses jualbeli berjalan lancar. Sampai sekarang saya tidak sangsi untuk terus menjadi pelanggan yang setia atas talian, alhamdulillah. Pelanggan bijak perlu sentiasa peka dan berstrategi membuat semakan latar belakang bagi mengelak mudah ditipu.

Pasaran online mengambil tempat yang pertama dalam dunia beli belah hari ini di Malaysia. Kemudahan melayari internet melalui permilikan gajet telekomunikasi oleh hampir setiap individu, memudahkan banyak urusan kehidupan, hassle free. Pasaran online meluaskan ruang dan peluang perniagaan. Dunia tanpa sempadan.
Rugi sekiranya alang-alang kepalang mengambil peluang keemasan ini, saya mengambil keputusan aktif berjual di laman sosial ketika masih belajar. Saya mengambil upah membuat kek coklat kukus dan menjual tepung-tepung kek segera pelbagai perisa sebagai produk pertama. Layari laman facebook : cakecawan

Kepuasan hati pelanggan memberikan impak positif kepada bisnes. Pelanggan terus setia berurusniaga lebih-lebih lagi bilamana urusan dipermudahkan. Produk makanan agak evergreen, tidak akan pernah lapuk ditelan zaman.
Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut, senang hati !

Thursday, September 18, 2014

Rumah dia, rekabentuk bersama

Upah Rekabentuk  I  Teks : Nur Afdalila


"Nanti kau design rumah kami tau. "

"Bolehlah nanti kau buatkan rumah kami. "

"Dapur kami ni nanti kau bolehlah tolong ubahsuai. "


Bilamana ditanya saya belajar dalam bidang apa, pernyataan atau soalan di atas akan menjadi pakej ayat susulan. Sejak dari seawal tahun satu pengajian di universiti lagi, tidak kira dari jiran tetangga, kawan-kawan, ahli keluarga dan sanak saudara hatta sekalipun adik beradik sendiri masing-masing mengimpikan konsultasi rekabentuk ruang idaman atau rumah impin mereka untuk saya realisasikan.  Tinggal adanya tanah sendiri atau rumah sedia ada untuk direnovasi.

Saya turut gusar, bila rekabentuk saya diguna pakai oleh keluarga terdekat terutama ibu bapa dan adik beradik saya, apakah pujian atau kritikan akan berterusan sepanjang zaman? Maklumlah keperluan rekabentuk rumah terutamanya bahagian dapur, amat memerlukan penelitian dan memenuhi kehendak pelanggan bergelar ibu ala-ala memudahkan kerja seorang jurutera atau chef domestik setiap rumah. Tetapi nyata setakat ini hanya saya yang banyak mengkritik dan memuji rumah dan rekabentuk dapur di sekeliling saya, terutama rumah sendiri dan rumah saya di kampung. Jurutera domestik adalah istilah lain bagi suri rumah. Rujuk laman ini Domestic engineer :)

Awal semester pertama pengajian, kakak perkenalkan adiknya ini kepada seorang anggota polis di Gombak.  Dia yang baru bebarapa bulan berkahwin menginginkan saya merekabentuk rumah pertama yang berkonsepkan laman melayu dengan aplikasi verandah dan passive cooling, iaitu pengudaraan alami semulajadi dan aplikasi cross ventilation ,iaitu pertukaran udara keluar masuk semaksimun yang mungkin dari segenap penjuru rumah. walaupun layout rumah tersebut sangat ringkas tetapi saya suka ideanya yang mengetengahkan rekabentuk rumah melayu idaman. Rumah ini hanya sempat saya siapkan layout draf awal sahaja dan sediit kosultasi kedai kopi. kemudian dia dipindah balik ke kampung halamannya Sarawak. rumah tersebut telah siap dibina dengan diubahsuai oleh kontraktor tempatan upahannya.

Semester seterusnya, saya berkenalan dengan rakan sekelas saya di universiti, seorang yang berkerjaya sebagai seorang peguam dan ketika itu sedang menyambung pelajaran peringkat ijazah muda kali ke tiga. Rajin belajar orangnya. Kematian isterinya beberapa tahun lalu ujarnya membuatkan dia nekad mahu rumahnya direnovasi, kerana tidak selesa mengimbau memori bersama yang sedikit sebanyak menggangu emosinya.  Dia mengajak saya ke rumahnya untuk direnovasi di Taman setiawangsa, Jalan Enggang 1. Rumahnya cukup siap sempurna membuatkan saya sedikit buntu untuk mengubahnya, rumah orang berkemampuan pastinya sudah cukup lengkap. Tugasan yang diberikan untuk menambah bilik solat sebagai ruang penyambut tetamu. Dia banyak mengadakan majlis zikir dan doa selamat sejak pemergian isteri tercinta. Ruangan tersebut meluaskan ruangan tetamu untuk kelangsungan majlis pada masa akan datang, sekaligus mendekatkan dia dan anak-anak kepada aktiviti ibadah.

Dia turut sekaligus meminta saya merenovasi rumah singgahannya yang berada tidak jauh dari kawasan rumah kediamannya dengan konsep laman dan taman bunga. Mengguna pakai pergola dan gazebo di ruang courtyard, laman di ruangan tengah rumah yang tidak berbumbung. Rekabentuk ini sempat dikonsultasi beberapa kali. Saya tidak pasti ubahsuai sudah dijalankan atau belum . konsultasi ubahsuai banyak kali tergendala atas hal-hal peribadi. Baru-baru ini sahaja dia baru melangsungkan majlis perkahwinan keduanya. Alhamdulillah.

Mak suka memperkenalkan saya kepada kawan-kawan dan sahabat baiknya. terutamamereka yang sedang menyiapkan rumah dan dapur mereka. Salahseorang sahabatnya memonta pertolongan saya untuk konsultasi rekabentuk dapur. Dapur yang di inginkan adalah island type atau senang dikenali sebagai kaunter bar dan pulau  atau ruang kabinet tambahan.
 Rekaan dapur berkonsepkan moden cetusan ala Eropah banyak menggunakan aplikasi ini. Maklumlah sekarang ibu-ibu gemar akan trend semasa iaitu konsep ala-ala enggeris.




Setiap kali cuti semester, saya pasti internship di firma-firma akitek, saya memilih untuk bekerja di kampung halaman, BRI-KotaBharu (bandaraya islam kelantan) . Ini memenuhi permintaan dan nasihat ayah untuk belajar aplikasi pembangunan berteraskan binaan rekabentuk islam. Saya hanya bekerja sambil belajar untuk menambah ilmu dan kemahiran asas senibina, saya seorang yang suka belajar dan sentiasa mahu memuaskan rasa ingin tahu , apa ada pada dunia berkerjaya.




Sambil bekerja saya  dirisik oleh beberapa kenalan bisnes untuk membantu mereka membuah rumahkeduaketiga mereka. Saya mengambil kesempatan yang  ada bersama pekerja-pekerja  senior di pejabat membuat kerja sambilan sebagai hobi masa lapang sambil belajar menguruskan servis senibina secara persendirian. Salah seorang rakan kami, inginkan rumah villa yang besar untuk isteri keduanya. rekabentuk semuanya sudah siap dia lakarkan,tinggal kami bantu draf kan sahaja. Dukacita konsultasi seterusnya terus-menerus tergendala,tidak dapat diteruskan. Tidak dapat saya agak apa masalah pelanggan tersebut. Namun saya kecewa kerana kerja draf sudah bergerak separuh jalan.

Tuesday, September 9, 2014

Kaunselor Susu Ibu bagi Wanita di Lapangan Binaan

Susu Ibu adalah susu manusia  I  teks: afdalila abas

Aktif menjalankan kerja-kerja amal dan program kemanusiaan dalam komuniti membawa saya mendalami pelbagai cabang ilmu. Peluang yang ada tidak akan saya sia-sia kan. Mempelajari skop ilmu keibubapaan alami sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan, memandangkan ia adalah ilmu atau propaganda orang dewasa, siapalah yang akan ambil kisah sehinggalah mereka mempunyai anak dan paling kisah, sekiranya kita mempunyai ilmu dan minat.

Keibubapaan alami adalah seperti mengendong bayi,  home schooling , pemakaian lampin pakai buang yang mesra alam dan lain-lain. Menyusukan bayi dengan susu ibu adalah salah satu daripadanya. Keibubapaan alami bukanlah sekadar trend hangat-hangat tahi ayam, ia adalah satu kempem memperkasakan fitrah manusia dengan matlamat ilmu kemasyarakatan sosiologi.

Beberapa tahun lepas, saya banyak belajar  mengenainya dari viral di intenet dan majalah keibubapaan sahaja. Sumber yang terhad dan kekurangan majlis ilmu keibubapaan dalam komuniti di sabah menjadikan ia tajuk yang belum mendapat sambutan hangat. Sehinggalah saya mendapat peluang menjadi organizer Parenting Expo 2012 , julung-julung kali diadakan di Malaysia Timur. Seingatnya dikhabar media sebagai yang terbesar diadakan, maklumlah kali pertama diadakan.
Di expo saya ditugaskan menjaga perjalanan program pentas untuk ibu menggayakan pengendongan bayi dan booth pakaian bayi dan perihal penyusuan susu ibu serta accesories ibu mengandung. Saya turut menjadi model menggayakan gajet pengendong SSC Boba 3G saya di atas pentas. Ramai sukarelawan dari ibu-ibu sekitar kota kinabalu turun menjayakan expo ini.




Dari expo ini saya didedahkan kepada penyusuan eklusif  oleh kenalan baru , seorang selebriti Dynas Mokhtar. Dia mengingatkan saya tentang kepentingan dan aplikasi SS dan DD . Pada awalnya saya agak kebingungan, apakah itu DD dan SS ? kerana saya tidak mengetahui apa-apa teori penyusuaan kecuali hanya memberikan bayi saya yang ketika itu berumur genap 3bulan, susu percuma dari tubuh manusia yang saya ada.

Saya berkenalan dengan mentor-mentor hebat Puan Zainab dan Puan Asma Moin dari Mentor penyusuan susu malaysia, mentor hebat Puan Kamariah, pengasas Kaunselor Penyusuan Malaysia dan pemilik susuibu.com. Beberapa hari di sana memberi pendedahan luarbiasa kepada perspektif saya akan keibubapaan alami kepada komuniti sejagat. Mereka memberi inspirasi buat saya untuk mengangkat martabat susu ibu dan kepentingan penyusuan susu manusia.

Saya diajak untuk sama-sama berdaftar menjadi kaunselor penyusuan memandangkan saya dilihat cukup membantu dan ghairah menyebarkan kebaikannya kepada orang awam di meja konsultasi ketika expo dijalankan. Kaunselor penyusuan adalah satu gerakan NGO mengiktiraf ibu-ibu sebagai perunding mendidik penyusuan dengan jayanya kerjasama  dari kementerian kesihatan Malaysia dan kumpulan proaktif ibu-ibu yang memperkasakan kempen kesedaran penyusuan.

Susu ibu satu anugerah !

-----------------------------------------------------------------

Setelah 2tahun saya berusaha dan berjaya, hari ini saya mencari :

Ibu-ibu yang bekerja di lapangan projek binaan, pelantar minyak, kilang dan kerja-kerja berat (heavyduty) sebagai arkitek, c.o.w, site project, project manager, lecturer, engineer , researcher dan technician, yang sedang mementingkan keperluan susu ibu kepada bayi yang baru dilahirkan, saya dan kumpulan kaunselor susu ibu (khas kerjaya dalam bidang J ) mengajak ibu-ibu berkongsi matlamat penyusuan penuh susu ibu.
Hubungi kami di fb dan tinggalkan no hp anda. Layari susuibu.com untuk info ringkas. Kami Bantu, memberi sokongan(peer support) , tunjuk ajar, dan bimbingan. Lokasi seluruh malaysia. (luar negara pun boleh)

Alhamdulillah, atas inisiatif peribadi beberapa tapak site projek dan lawatan ke pejabat membantu ibu-ibu (niat suci lagi murni) , telah di lawati untuk sesi bimbingan. 

Offline dan online.


Anda mahu, kami bantu!

Monday, September 8, 2014

Dapur Biar Berasap , Periuk Hanya Satu !

Gajet Dapur   I  Teks : Afdalila Abas


Pagi senyum, tengahari senyum dan malam pun saya terus tersenyum.

Senyuman ini tanda kesyukuran kerana suami susah makan di luar atau beli bungkus dari mana-mana restoran dan kedai makan. Hanya kerana gajet-gajet dapur yang saya ceritakan tempoh hari dalam entry berkisar hobi saya.

Suami menghadiahkan gajet istimewa ini ketika kami sibuk mengemas rumah untuk berpindah hujung tahun lepas, dari kota kinabalu ke pergunungan puncak kinabalu. Dalam kelam-kabut suasana mood berhijrah dan kecamuk jiwa terpaksa tinggal berasingan sementara beberapa bulan akan datang, sebuah hadiah mengubah suasana menjadi ceria.

Cukup luar biasa dan mempesona!



Ulasan dari blogger terkenal: Ben Ashaari

Tidak sempat bosan dengan pelbagai pilihan resepi untuk dimasak, saya layakkan diri menceburi  bidang masakan dan mengajar memasak. Bagaikan mimpi, walaupun saya suka memasak. suami pula suka makan. Mengajar dan mengadakan kelas semudah ini tidak pernah saya fikirka sebelum ini. Periuk ini sememangnya memberi keyakinan diri kepada semua wanita untuk berdansa dengan tarian rempah dan rencah apa jua masakan.

Lihat sahaja senarai resepi dari seorang chef yang  kini menjadi mentor masakan saya online, Chef Riz :

Buku 1 (42 resepi) :
  1. -nasi arab
  2. -nasi goreng daging
  3. -nasi goreng cina
  4. -nasi dagang
  5. -nasi tomato
  6. -pulut kuning
  7. -pulut lemak
  8. -wajik
  9. -nasi lemak istimewa
  10. -nasi masam manis
  11. -pulut kelapa
  12. -ayam panggang
  13. -ayam panggang ala tom yam
  14. -daging panggang nanas
  15. -sardin
  16. -ikan kukus ulaman
  17. -daging masak hitam
  18. -daging jintan
  19. -ikan kukus masam manis
  20. -stew tulang
  21. -lemak cili api ayam dengan rebung
  22. -kari kuning ikan
  23. -gulai minang nangka
  24. -ayam masak berempah
  25. -dodol
  26. -dodol pandan
  27. -bingka jagung
  28. -apam pisang kukus
  29. -koleh jagung bakar
  30. -kaswi lapis
  31. -puding roti bercoklat
  32. -kek pandan
  33. -kek nanas
  34. -kek coklat
  35. -kek oren
  36. -kek gula hangus
  37. -spaghetti goreng
  38. -bihun goreng kampung
  39. -mi goreng ala kampung
  40. -kuihtiaw goreng
  41. -mi sanggul goreng
  42. -bihun goreng putih


Buku2 (50 resepi) :
  • 1. Nasi sunquick noxxa
  • 2. Nasi briyani noxxa
  • 3. Nasi madu tiga noxxa
  • 4. Nasi daging noxxa
  • 5. Bubur pulut hitam noxxa
  • 6. Nasi lemak kukus noxxa
  • 7. Pulut inti noxxa
  • 8. Pulut manis kelapa noxxa
  • 9. Bubur kacang durian noxxa
  • 10. Bubur lemak pedas noxxa
  • 11. Bubur asyura noxxa
  • 12. Bihun goreng kerabu noxxa
  • 13. Makaroni bakar noxxa
  • 14. Spiral pasta goreng cendawan noxxa
  • 15. Spiral pasta ala asia noxxa
  • 16. Nasi kukus dengan ayam dan cendawan noxxa
  • 17. Ayam bakar lada hitam noxxa
  • 18. Ikan bakar dengan sambal tomato noxxa
  • 19. Ikan pari bakar dengan salsa kantan noxxa
  • 20. Kambing bakar dengan sos cheesymayo noxxa
  • 21. Daging tajau hill noxxa
  • 22. Sup tomato bebola daging noxxa
  • 23. Lemak putih labu dengan pucuknya noxxa
  • 24. Daging kerbau steak spices noxxa
  • 25. Ayam percik noxxa
  • 26. Lala ‘steam’ cili padi noxxa
  • 27. Ayam kejintan noxxa
  • 28. Kuzi kambing noxxa
  • 29. Kerang lemak merah noxxa
  • 30. Ketam masak kerutuk noxxa
  • 31. Sotong masak bawang noxxa
  • 32. Kari tulang dengan rebung madu noxxa
  • 33. Udang singgahsana noxxa
  • 34. Sotong asam pedas noxxa
  • 35. Sup siam kerang noxxa
  • 36. Ayam bakar madu lemon noxxa
  • 37. Udang mentega saffron noxxa
  • 38. Dalca sayuran noxxa
  • 39. Sayur campur bakar berkeju
  • 40. Sup cendawan swiss brown dengan tauhu noxxa
  • 41. Kentang masala noxxa
  • 42. Sambal daging kantan noxxa
  • 43. Lopis ala noxxa
  • 44. Bingka gula merah noxxa
  • 45. Puding roti bakar berlauk noxxa
  • 46. Pizza tuna noxxa
  • 47. ‘wraps’ berinti pepperoni bakar noxxa
  • 48. Brownies coklat lapis pisang noxxa
  • 49. Kek oats noxxa
  • 50. Bubur aneka rasa noxxa
Daging dan tulang yang dimasak begitu lembut dan menggiurkan, tidak lagi saya perlu mengambil masa yang lama dan menggunakan gas atau tenaga elektrik yang banyak. Sayur terjaga kualiti hanya perlu stim seminit dua sahaja sudah memadai.

KEISTIMEWAAN : 
  • Pilihan Tekanan Tinggi & Rendah. @ Hi-pressure, Low-pressure 
  • Pelbagai fungsi – Masak Perlahan, Mengukus, Menumis. @ Slow Cooker, Steam, Stir-fry 
  • Memanas semula dan memastikan makanan sentiasa hangat. @Reheat 
  • Pelewat Masa sehingga 8 jam. @ Delay Timer 
  • Periuk tidak melekat 8L. @ Non-stick Saiz periuk bahagian dalam 
  • Diameter : 26.2cm - Height : 17.5cm (boleh tanak 16 cawan beras) 7minit sahaja

TESTIMONI : 

-Boleh membuat Pop-corn
-Masak kek kukus 
-Masak Dodol & Halwa Maskat
-Buat sendiri Sardin , begedil 
-Rebus daging, tulang & ekor dalam masa yang singkat , sangat lembut
-Masak@goreng Bihun dlm masa yg singkat 
(tidak perlu tos bihun , masuk terus dalam periuk)
-Masak Nasi biasa & nasi beriani dalam masa 7 minit 
(tidak termasuk masa prepare – masuk tak perlu dimasak masukkan beras terus) 
-memasak sup tulang @ sup ekor, cuma memakan masa lebih kurang 40 minit sahaja
-Untuk merebus telur dlm 52 biji muatan penuh, kita cuma memerlukan 1 minit shj 

Gambar-gambar masakan saya dan kelas santai yang telah diadakan .

Chicken chop 20minit

Ayam golek 40minit (sekaligus 2ekor)

kek minyak atau apam telur kukus 15minit

Nasi himpit 15minit

Belajar, masak kemudian makan.

semua ibu-ibu membawa periuk masing-masing
 ,turut datang kawan dan keluarga.

16 cawan nasi sekali masak,
 open house pun sempat dan cepat untuk
buat macam-macam lauk

kek sarang semut kegemaran

3minit menyiapkan meehun goreng
menggunakan  steam


Wanita berkerjaya ataupun suri rumah wajib memilikinya.
Hubungi saya untuk maklumat lanjut . 
Facebook Chef Afdalila Abas .

Ayuh sertai komuniti , Mari memasak bersama Noxxa :)

Periuk ni adalah sihat, selamat dan cepat! 


Sunday, September 7, 2014

Nota Maya untuk Semua


Nota Akademik untuk semua  I  Teks: Afdalila abas 




Hari yang lepas,  saya dihubungi oleh seorang pensyarah,Cik rufaidah , pensyarah baru (saya tak kenal.) program hiasan dalaman dari kolej tempat lama saya mengajar . Dia menghubungi saya untuk mendapatkan nota-nota yang pernah saya buat dan rujukan-rujukan yang telah diguna pakai pada semester akademik yang lepas-lepas. Kata beliau keadaan komputer ribanya yang sedang bermasalah menyebabkan rujukannya semua sudah hilang begitu sahaja.



Tinggal kenangan. Tak dapat saya bantu.


Setelah nekad berhenti dari mengajar,  saya dermakan semua buku-buku  dan majalah-majlah kesayangan saya untuk mereka, pelajar-pelajar guna dan lebih bermanfaat jika terus digunakan. Anak kecil ini masih setahun jagung, belum pasti dia berminat menggodek buku-buku senibina ibunya di hari kemudian, walaupun sesetengah buku harganya ratusan, namun ilmu bukan untuk tatapan hiasan dekorasi di rak buku di rumah. Itu prinsip saya. Tapi ada juga yang diberi pinjam, sampai masa akan saya rindu, untuk merujuk hal-hal teori tertentu, siapa tahu.


Penggunaan gajet kini semakin mendapat perhatian pelajar malah kebanyakan pelajar
memiliki smart phone atat tablet. Nota-nota yang saya  fotostat ibarat bakal origami yang akan ke tong sampah. Pelajar juga tidak gemar membawa nota modul yang tebal dan berat ke kelas setiap hari. Jadi semua senang apabila aplikasi nota maya  diguna pakai di internet dan senang disimpan secara 'cloud' atau kod 'android'. Dapat diambil dari mana-mana tempat.  Wah, canggihnya sistem sekarang. Sangat canggih. Sewajarnya semua pelajar di alaf baru yang serba moden berpeluang berjaya semudah ABC .  

Namun saya masih teringat kebiasaan pelajar-pelajar di kolej,  beberapa hari sebelum peperiksaan  atau persembahan rekabentuk, barulah tergopoh-gapah mencari nota, mayala katakan. Hanya dihujung jari, langsung tidak berada dalam kepala! ops, ingatan mereka.  Ada yang santai hanya menghantar sms sahaja pada pensyarah minta tolong pensyarah untuk email kan semula. oh, agak biadapkan. Begitulah antara rencah pelajar sekarang, ramai yang acuh tak acuh terang-terangan. 


Zaman kami di kampus dulu, memburu nota bagaikan  emas. Terpaksa belanja kawan-kawan untuk dapatkan nota yang mereka salin didalam kelas atau dibuat khas. Ada pula nota yang misteri, apabila sesetengah pelajar mendapat nota istimewa dari pensyarah, jika mereka rajin  ulangkaji dan mencari peluang diskusi bersama-sama. Oh, rindunya zaman nota-nota fotokopi memenuhi meja. Buku-buku menjadi alas tidur untuk menyembam wajah bersilih ganti pipi, kanan dan kiri.

Perpustakaan maya tidak mungkin sehebat pengalaman perpustakaan yang penuh dengan buku-buku fizikal. Saya mengimpikan Malaysia untuk turut mempunyai pusat sumber senibina ala-ala seperti Architectural Association(AA), London.  Sebuah pusat sumber untuk teori-teori senibina dunia dikaji, dipelajari dan diterokai. 





Impian lebih besar bagi saya, menjadikan blog ini sebagai data rujukan untuk nota-nota senibina dan rekabentuk  serta menjadi titik rujuk awam mengenai senibina dan aplikasinya dalam kehidupan ramai.

Terima kasih Puan Masayu Ahmad, pengasas ABDR atas sumbangan ideanya semalam yang turut memberi inspirasi kepada saya. Ideanya menyokong saya sepenuhnya untuk meneruskan cita-cita mengumpulkan nota maya untuk bakal pelajar yang berminat menyambung pengajian dalam bidang senibina, tips belajar senibina, tips rekabentuk untuk semua, dan aspirasi rekabentuk.

Nantikan info nota-nota maya dari saya.

Saturday, September 6, 2014

Hobi Pakai Duit atau Hobi Buat Duit

Hobi Berstrategi  I Teks: Afdalila Abas

" Tujuan hobi adalah untuk memenuhi minat dan mendapat keseronokan, bukan mendapat pulangan. "
Sumber di atas saya perolehi dari wikipedia.com, anda setuju? Tanpa pulangan?


Ada hobi percuma dan ada yang memerlukan belanja. Sebagai contoh, hobi mengumpul setem adalah percuma jika sekadar mengumpulkan setem terpakai, tetapi ia bertukar menjadi hobi yang memerlukan belanja apabila pengumpul jemu dengan kesukaran mendapatkan pelbagai setem secara percuma. Pelbagai jenis setem yang menarik perlu dibeli, malah setem yang baru terbit harganya mahal.

Memancing adalah hobi yang memerlukan belanja dan menghasilkan pulangan. Belanja diperlukan untuk membeli alat pancing utama seperti joran dan umpan, alat pancing sampingan seperti bot, khemah, lampu dan sebagainya. Pulangannya adalah ikan dan hadiah pertandingan memancing.

Percuma,  belanja dan pulangan, 3 elemen penting untuk kita kongsikan mengenai hobi kebanyakkan kita hari ini, terutama hobi saya. Kongsikan sekali hobi anda, dan apa pendapat anda tentang hobi anda di ruangan komen dibawah.

Status bekerja dari rumah mendatangkan hobi berniaga sebagai hobi wajib pada sekumpulan besar komuniti dunia. Samada berniaga barang sendiri atau hanya 'dropship' barangan yang ada dipasaran. Istilah dropship diberi maksud menjadi agen urusniaga pada pelanggan atau pihak ketiga untuk barang niaga dari pihak kedua, kemudian pihak kedua menguruskan penghantaran barang atau penyediaan barang siap tersebut.

Emaklah orang yang membuatkan saya sangat-sangat berterima kasih kerana hari ini saya bangga berhobikan apa sahaja jenis perniagaan yang saya jalankan. Terima kasih mak!

Dulu kami kecil-kecil seawal darjah dua, emak akan memberi coklat wafer pelbagai perisa, strawberi, coklat,coffe dan ada macam-macam variasi snek lagi kepada kami adik beradik, untuk kami jual di sekolah masing-masing pada harga lebih dari modal . Jumlah untuk dijual hanya perlu mengikut kemampuan kami, dan saya selalu ambil satu sahaja. Saya gusar, siapalah yang akan beli nanti ? selalunya saya akan makan dan ganti sahaja balik duit emak. Hobi ketika itu belanja kawan-kawan, poket teballah katakan. 

Bila emak tidak yakin yang saya pandai cari duit sendiri, saya rasa terpukul. Maka dari situlah saya mula mempengaruhi diri untuk buktikan pada emak, saya pun boleh jika berusaha. Emak, saya pun usahawan juga!  ketika itu saya darjah tiga.Saya tiada modal, saya malu jual coklat wafer yang emak bekalkan, ego. Tapi saya ada idea.

Ceritanya, saya hanya mampu adakan pertandingan pada rakan-rakan sekelas, 3 Zamrud. Tanpa modal diperlukan. kategori melukis dan mewarna. Siapa malas melukis,boleh warnakan sahaja. Siapa yang kreatif,boleh mewarna dan melukis sama. Setiap penyertaan wajib mengambil 2 bahagian , setiapnya 50sen satu. Lukisan tersebut saya hanya lukis sendiri (itu kepakaran saya) dan jadikan salinan A4 menggunakan printer dirumah. Hadiahnya sedozen kek Apollo rm4 dan sebotol besar minuman gas  rm3 harga ketika itu. Mampu milik dan saiz hadiah hamper yang mengujakan. Saya intai siap-siap harga di kedai runcit depan rumah. Pemenang pertama sahaja mendapat hadiah. Saya sudah lupa apa tema yang saya berikan.

Penyertaan diberi masa selama seminggu sahaja. Suhaila Zainal Abidin (sekarang dia menjadi doktor pergigian di klinik kota bharu) memenangi pertandingan ini, jurinya adalah kakak sulong saya. saya tidak pasti emak bangga atau tidak ketika itu. Hasilnya hobi baru saya iaitu berniaga menjadi mula seronok, kerana saya gabung dengan minat saya iaitu melukis, mengkritik dan merancang sesuatu ala-ala 'organizer'.

Ingat tak watak  Mail dalam upin ipin ? Seringkali saya tersindir dengan wataknya, tapi hanya saya (oh suami pun sama!) memahami unsur wataknya yang kreatif dan bijak mengambil peluang. Anda rasa apa yang saya rasa?
Jika jawapannya ya, itulah 'clue' untuk anda tahu bahawa kita adalah entrepeuneur!


2 seringit .

Hobi apabila digabung jalin dengan minat-minat yang lain akan menghasilkan tiga unsur tadi, sesuatu yang percuma, sesuatu yang perlu dibelanja dan sesuatu yang memberi pulangan. Kita sebenarnya yang akan tentukan mana yang akan lebih diutamakan. Inilah yang saya namakan strategi hobi atau hobi berstrategi. 



 Af-rkitek atau Ch-af ?

Secara ringkas, saya kongsikan hobi kami suami isteri. Hobi suami ialah memanah tradisional. Dia turut mula mengajar bagaimana memanah kepada kawan-kawan dan pelajar di sekolah-sekolah secara berbayar. Kelas memanah perlukan alat-alat memanah. Siapa akan tolong jual? Begitu juga saya dengan kelas renang bayi.  Kelas-kelas masakan dan baking yang saya adakan pula, bukan kerana saya sepandai chef, tetapi gajet dapur yang saya beli ini cukup bagus dan memudahkan ibu-ibu memasak dengan cepat, gerenti jadi dan mahir semudah ABC. Sesedap air tangan isteri. Maka siri gajet dapur yang digunakan itu pula yang terjual sama. Hobi 3 dalam 1, menarik bukan? 

Sesiapa pun kita, kita boleh mempunyai variasi gabungan hobi yang berstrategi . Selagimana jiwa kita berusaha untuk mencapai erti hidup pada memberi :)



Friday, September 5, 2014

Salam Perkenalan Dari Afdalila Abas

Afdalila itu Agresif  I Teks: Afdalila Abas

Assalamu'alaikum wrt wbt
Salam Senyum Seribu Sayang

Ayah bernama Abas, dan emak bernama Fadzlah. Bukan mahu memperkenalkan ibubapa saya, tetapi dari situlah datangnya dua huruf awal pada nama Afdalila Abas :) Turut saya selesa dipanggil AF oleh teman-teman dan sahabat handai, ini meneguhkan ingatan saya kepada mereka berdua, insan yang tersayang. Kreatif kan!

Lahir-lahir sahaja, saya sudah masuk universiti, Hospital Universiti (HUSM) Kubang kerian di Kelantan, emak melahirkan saya sebagai anak ke 5 daripada 7orang adik beradik. Kata emak, saya lahir sendiri ditengah-tengah malam pada Julai tahun 1987 di wad bersalin sahaja, belum sempat doktor dan misi datang awasi dan dibawa ke "Labour room". Mungkin kerana itu, emak sering kali mengatakan saya ini agak bersifat Agresif, tidak sabar melihat dunia dan tribulasinya. Afdalila itu Agresif !

Dibesarkan di Kota bharu , Negeri cik siti Wan Kembang dan menghabiskan zaman persekolahan di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Bandar Diraja Klang. Menyambung pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dalam bidang yang saya impikan sejak di bangku sekolah, SENIBINA. Saya impikan universiti luar negara, tetapi UIAM sudah menjadi universiti wajib untuk hampir separuh adik beradik saya. Diam dan ikut sahaja! 

Senibina datang dari minat yang mendalam pada nilai estatika .

Perkahwinan ditahun akhir universiti dengan graduan perubatan, memberikan saya cabaran status baru, isteri doktor.  Sedikit-sebanyak menenggelamkan posisi karier ARKITEK yang dicita-citakan sekian lama. Syukur, kami disahkan dengan berita gembira pada hari konvokesyen saya, anugerah cahaya mata dalam kandungan seawal satu bulan ketika itu. Lantas dengan itu, saya terus memadamkan rasa teruja untuk mengejar dunia berkerjaya dilapangan hutan konkrit dan batu-bata. Memberi gelaran Arkitek Keluarga, dengan moto merekabentuk kehidupan dan generasi. Setuju?

Mengikut suami bertugas ke Malaysia Timur, Sabah mengasingkan saya dengan kehidupan baru yang unik dan berbeza dari laman  sendiri tanah semenanjung. Lantas saya yang sudah sarat mengandung hanya terus berehat di rumah dan menunggu hari melahirkan anak pertama. Tekad saya mahu menjadi SAHM (Stay-At-Home-Mother) dan menjadi dambaan kawan-kawan lain, yang cemburu melihat saya ibaratnya hidup hanya goyang kaki. 

Ketika bayi sulong baru berumur 6bulan, saya ditawarkan mengajar sebagai pensyarah kepada pelajar-pelajar diploma senibina, di sebuah kolej swasta berdekatan tempat kerja suami. Pada masa yang sama, saya teruja menjumpai blog Arkitek bekerja hanya dirumah, Khairunisa Hamzah. Kebetulan beliau juga belajar satu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sama dengan penasihat kajian sarjana saya di Universiti Mlaysia Sabah (UMS), Prof. Dr Abdullah Bade. Saya sangat-sangat keliru dengan keputusan saya samada kembali berkerja atau WAHM(working-at-home-mother) seperti beliau. Ia cukup menganggu tidur lena saya.

Perasaan itulah yang membuatkan saya menghubungi beliau selepas berkali-kali membaca  entry ini: http://khairunnisahamzahara.blogspot.com/2013/06/letak-jawatan.html
Beliau menyarankan agar saya buat sesuatu mengikut kemampuan diri dan menjemput saya mendaftar untuk bersama dalam Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) setelah saya mampu membuat keputusan berhenti kerja nanti. Jika saya mampu.

Kerjaya pensyarah menjadikan diri ini terasa bagaikan lilin yang membakar, apabila semangat erti hidup untuk memberi berkobar-kobar, apalagi yang diberikan itu adalah perkongsian pengalaman dan ilmu secara proaktif di lapangan senibina. Tutup sebelah mata, maka saya teruskan dilema yang dihadapi dan terus mengajar dan mendidik anak bangsa. Walaupun hakikatnya saya sedar gaji pensyarah kolej nyata tidak langsung mencapai tahap 'standard' graduan kelulusan Arkitek dan sedar cabaran yang mesti saya tempuh sebagai seorang ibu dengan misi penyusuan susu ibu penuh selama dua tahun. Suami menyahut penuh seruan memperkasakan 'breastfeeding' oleh majikannya, kementerian kesihatan Malaysia!

Akhir tahun lepas, suami dipindahkan untuk bertugas di  pergunungan kinabalu. Kami terpaksa tinggal berasingan dan berpisah. Jarak pergi-balik dari puncak gunung dan kota kinabalu hanyalah 3jam tetapi dengan laluan jalanraya yang dipenuhi lereng-lereng gunung, ia bukan opsyen yang praktikal. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Kolej memberikan opsyen “Voluntary Surrender Scheme” (VSS) kepada semua pekerja pada bulan yang sama. Walaupun saya memilih untuk memohon VSS, tetapi Allah Maha mengetahui. Permohonan saya ditolak kerana hanya saya satu-satunya pensyarah kelulusan senibina di institusi tersebut.

Kali ini, saya diuji terpaksa membayar 3 bulan gaji sekiranya ingin segera berpindah mengikut suami. Buat kali pertama hati saya berkecamuk dan menyesal kerana BEKERJA, kerana saya selama ini sudah utuh dan yakin bahawa lubuk ketenangan dan kelapangan yang hakiki adalah satu rumah duduk tinggal bersama sekeluarga. Rumah ku, syurga ku! 

Dengan izin Allah, saya menghantar notis berhenti kerja 4 bulan setelah mengetahui tawaran VSS saya ditolak. Saya berhenti elok sehingga habis semua kuliah saya sepanjang semester akademik di kolej. Sementara itu, suami jauh di pergunungan, kami hanya berjumpa di hujung  minggu atau pada kelapangan yang ada. Senyum saya mengigati bagaimana kami terpaksa melalui pengalaman menyewa bilik bersama pelajar-pelajar di asrama kolej demi keselamatan bayi dan kekangan ekonomi untuk menyewa dua rumah sekaligus pada ketika itu. Sewa rumah di kota kinabalu dua kali ganda lebih mahal dari kadar sewa di kuala lumpur.

Semuanya sudah beberapa bulan berlalu, setelah mendapat berita kandungan anak kedua, semangat untuk terus berhenti bekerja kembali hidup dan harapannya agar kandungan ini juga (sekarang 5bulan) yang meneguhkan keputusan saya untuk merdekakan diri dari terus berkerja untuk orang lain. Cukuplah diri saya sendiri sebagai majikan dan saya jua sebagai pekerja. Merdeka!

Getus hati kecil ini, macamana saya akan mula menulis blog, sedangkan saya hanya pandai melakar atau melukis. Paling pandai berkhayal mencari idea. Menerawang dan entah ke mana-mana. Berpenglipulara. Itulah kerisauan suami, risau saya memikirkan cinta lain agaknya. Bila diingat-ingat kali terakhir saya menulis blog, saya sudah lupa bila. Terasa lebih muda, riang dan ceria, saya mula kembali ber'blog' hari ini. 

Saya akan mencari makna disebalik perkenalan kita hari ini, makna sebuah kemerdekaan, disini bermulanya sebuah cinta. 


Itulah saya, Afdalila :)

Cinta saya iaitu bekerja dengan majikan baru, diri sendiri. 
Merdeka, itulah saya hari ini sampai hari esok, bekerja dari rumah !

email          : nurafdalilabas@gmail.com
blog           : http://afdalilabas.blogspot.com/


Kata Penting hari ini :  AGRESIF

1) Agresif adalah kualiti peribadi seseorang yang ingin menjadikan dunia dan kehidupan menjadi seperti yang diinginkannya.

2) Seorang yang agresif akan menggerakkan dirinya untuk maju saat bermalas-malasan terasa lebih menarik, dan untuk meneruskan saat menyerah kelihatan lebih selamat.

3) Agresif menjadikan orang biasa diperhatikan, dinilai dengan lebih ketat, dibanding dengan lebih kejam. Tapi itulah yang menjadikan semua kualiti di dalam dirinya dikenali dan dihargai.

4) Rasa syukur adalah landasan bagi sifat agresif yang anggun dan kukuh.

5) Rasa berhak untuk berjaya adalah pendorong baginya saat dia kurang cepat, dan pengarah baginya saat dia tertarik kepada yang tidak penting.

6) Pemuda yang giat menata diri dan agresif membina masa depan yang cemerlang, menarik bagi wanita yang ingin anak-anaknya dipimpin dan dihebatkan oleh seorang lelaki yang elegan dan berjaya.

'Please kindly enjoy, absorb, and apply !'