Monday, November 10, 2014

Tips hebat pemasangan plaster siling

Teks: Afdalila Abas


Sekiranya siling sudah kelihatan membosankan, apakata tukar siling biasa kepada plaster siling. Plaster siling menjadikan rumah tampak kemas, cantik dan bergaya. Ditambah dengan limpahan cahaya lampu yang berbilang jenis, saiz dan warna, menjadikan rumah kita sebagai inspirasi kepada kehidupan kita. 







Pilih Rekaan Plaster Ceiling

Ada banyak pilihan yang kita boleh pilih dengan pelbagai bentuk asalkan bersesuaian. Ada yang mahu rata sahaja tanpa-apa-apa dekorasi. Ada yang mahu L-Box, ada yang mahu bentuk seperti tangga. Pilih dari katalog sedia ada atau reka pilihan tersendiri.   









Tips Sebelum Memasang Plaster Ceiling

Pemasangan siling bagi rumah yang belum mempunyai siling adalah lebih mudah. Pekerja akan menyiapkan urusan wiring, kerja-kerja ini perlu jalan dahulu kerana ia lebih memudahkan kerja. Sekiranya plaster siling sudah dibuat, kemudian diikuti kerja pendawaian, ia akan menyusahkan pekerja. 


Kita perlu tahu di manakah kedudukan yang sesuai untuk lampu downlight, lampu chandeliar, aircond, kipas dan lampu gantung yang hendak diletakkan. Ini penting untuk susunan kerja pemasangan plaster siling.Runding dengan pereka dalaman untuk kedudukan lebih jelas.

Kerja-kerja wiring dan pemasangan hook sebaik-baiknya dibuat awal sebelum pemasangan plaster siling.  Memasang hook di siling asal bagi tujuan menyangkut kipas dan lampu chandelier. Oleh itu, kedudukan lampu dan kipas perlu diberitahu lebih awal kepada kontraktor.

Banyak kes dimana klien tertinggal untuk  memasang kipas pada ruang tamu berplaster siling atau tertinggal pemasangan hook candelier.Inilah yang akan menambah kos ubahsuai pemasangan plaster. Beringat sebelum lupa.






Bagaimana Menentukan Ketinggian Plaster Siling?

Di antara perkara yang perlu dititik berat sebelum memasang plaster siling ialah ketinggiannya. Plaster siling tidak sesuai untuk rumah yang berketinggian 8.5 kaki ke bawah. Rumah akan kelihatan kecil dan nampak serabut sekiranya silingnya terlalu rendah. Jika dipasang kipas pula, dikhuatiri bilah kipas akan terkena seseorang. Ruang akan lebih panas  kerana pengudaraan yang terhad. 10 kaki tinggi adalah tinggi yang bersesuaian, ruang masih tampak luas.

Baik,untuk mengetahui level plaster siling, kita perlu lihat di manakah beam rumah. Pada kebiasaannya kita memasang siling betul-betul di bawah beam. Ini bertujuan untuk menutup beam yang menggangu pandangan. Kita akan ambil 2 inci sekurang-kurangnya dibawah beam untuk kita pasang aluminium bar. Berdasarkan 2 inci bawah beam, kita akan pasang plaster siling yang lain dengan level yang sama. 


Berapakah jarak antara slab/syiling sekarang dengan plaster syiling yang akan kita pasang? 

Jarak plaster siling dengan siling asal adalah sekurang-kurangnya 8-10 inci.  


Ini kerana kita akan memasang lampu downlight bulat. Lampu downlight bulat memanjang mempunyai ketinggian 6 inci. Kita akan mengambil 2-4 inci untuk proses memasang lampu downlight bulat. Sekiranya kita mahu mengambil jarak kurang dari 8-10 inci, boleh juga. Tetapi kita kena memasang lampu downlight 4 segi. Ia lebih pendek dan tidak perlu mengambil banyak ketinggian ruang.





Memasang Bar aluminium. 

Selepas itu, bar-bar aluminium akan diskru di siling atau slab. Bar inilah yang memegang plaster siling dariapada jatuh. Plaster siling pula akan diskru ke bar-bar ini.

Sejenis besi aluminium di pasang di siling. Lihat ia dipasang di bawah beam atap untuk menutup rupa bentuk beam dari pandangan


Proses Kemasan. 

Selepas plaster siling dipasang, proses kemasan pun bermula. Sejenis simen putih khas akan di ratakan di plaster siling tersebut. Ia akan menutup sambungan-sambungan siling dan menyebabkan siling kelihatan rata.  





Memasang Cornices

Cornice adalah hiasan yang diletakkan di tepi plaster siling. Ia ada banyak bentuk dan banyak bunganya. Ada yang suka warna putih dan ada yang suka corak bewarna, Yang berwarna lebih mahal daripada yang putih kerana warna itu dicat secara manual menggunakan tangan. 

Bagi yang memilih cornice berwarna, ia perlu berhati-hati kerana sambungan antara satu cornice dengan cornice yang lain, kelihatan ketara sambungannya sekiranya berwarna. Ia tidak terlalu ketara dengan cornice putih. Pakar yang memasang plaster siling akan melakukan touch up dengan mewarnakan sambungan cornice agar tidak jelas kelihatan. Jika anda seorang yang cerewet, lebih baik gunakan cornice yang putih sahaja. 




Memasang lampu di plaster siling. 

Selain lampu downlight, kita boleh memasang lampu yang ditutup dengan L-box di kawasan tepi. Lampu yang membentuk "ambience" menjadikan suasana lebih malap tetapi harmoni. Kita biasanya akan menggunakan satu lampu khas yang dipanggil T5. T5 datang dalam pelbagai warna dan panjang, tetapi ia adalah lampu yang berdiameter kecil dan dipasang mengelilingi plaster siling. 




Bagaimana jika siling rendah?

Sekiranya siling rendah,klien tidak dinasihatkan memasang plaster siling. Apa yang kita boleh buat ialah, slab siling boleh di "skim" dengan sejenis simen putih untuk ia kelihatan licin seolah-olah memasang plaster siling. Walaubagaimanapun, kita tidak boleh memasang downlight kerana tidak ada ruang. 

Untuk tujuan memasang lampu, saya cadangkan kita pasang L-box di sebelah tepi siling dan memasang lampu T5 di sekeliling siling. Ini menjadikan bilik terang dengan suasana ambience. 

Juga boleh memasang lampu LED di tengah-tengah siling sebagai pencahayaan tambahan. Lampu LED dengan pelbagai bentuk menarik boleh dibeli dari kedai lampu, pilihan di IKEA mungkin tidak mengecewakan . 

Juga boleh membuat windows treatment, pemasangan plaster box di railing langsir pada tingkap-tingkap rumah.


---------------------------------------------------------------------------------------------------------------


pelukis bangunan, ruang dan seni
afrchitect@gmail.com
FB: afrchitect.co

1 comment :