"Eh, mengandung ke? mengandung lagi ke? sejak bila? Tak tahu pun! "
Minggu ni ramai yang tertanya-tanya, berita kehamilan saya tak semeriah khabar pertama zuriat kami 2 tahun yang lalu, kali ini saya pilih untuk berkongsi pada yang tertahu sahaja. Lagipun dengan mengkhabarkan berita kandungan pada khalayak umum tidak membezakan situasi kandungan saya sekali pun. Paling penting saya sibuk dengan kelahiran BLOG ini :) kehamilan kali ini penuh inspirasi dengan semangat waja seorang ibu berbadan dua bergelar pelukis bangunan, ruang dan seni.
KEHAMILAN PERTAMA
Saya adalah pengantin di tahun akhir pengajian Senibina, manakala suami di tahun akhir jurusan Perubatan. kami dua-dua perlu merancang untuk TIDAK hamil bagi menghabiskas pengajian dan mendapat segulung ijazah sama-sama. kebetulan nikah dan majlis resepsi dibuat pada tarikh yang berasingan, Berbeza beberapa bulan. Eloknya supaya majlis resepsi kami diadakan ketika cuti konvokesyen, yang mana semua teman-teman dapat hadir ke majlis dengan tajaan khas penginapan percuma buat semua tetamu jemputan di hotel bajet milik keluarga suami.
Gemuruh sepanjang majlis akad nikah bertukar lega, bila penghujung majlis saya tiba-tiba datang bulan. Perkahwinan ini hubungan jarak jauh, masing-masing balik semula ke kampus, pengajian berjalan seperti biasa. Situasi ini membantu kami fokus dan TIDAK hamil buat sementara waktu. Kami hanya bergelar suamisteri pada hujung minggu, berumahtangga di Studio Senibina kampus saya menyiapkan kerja-kerja persembahan senibina yang memerlukan masa 100% fokus pada kerja lapangan rekabentuk. Suami turun dari utara semenanjung menemani saya pada sabtu dan ahad setiap minggu. Kesian dia terpaksa tidur beralaskan lantai, buku atau kerusi. Hanya pelajar senibina memahami situasi ini.
Selang beberapa bulan, kedua-dua kami pun tamat belajar. Alhamdulillah syukur, saya TIDAK hamil. Elok majlis graduasi suami selesai, terus kami berpindah untuk suami lapor diri bertugas di Malaysia Timur. Beberapa bulan kemudian, barulah disusuli majlis konvokesyen saya.
Tanpa saya sedari, saya mengambil ijazah bersama bayi kandungan berusia sebulan. ibu yang risau dan gusar dengan keadaan saya setelah mengetahui haid saya tertangguh, kerana aturan haid saya memang cukup tepat dan teratur sejak dari zaman remaja sekalipun saya mengalami sakit senggugut yang teruk. Ibu lebih awal membaca tanda awal kehamilan ini. Sehinggakan beg yang dipikul untuk menaiki pesawat balik ke Malaysia Timur pun ditegah ibu dari dipikul. Saya rasa dimanjakan tak tentu pasal, sehinggalah saya diyakini SAH hamil di Klinik kesihatan di perantauan Borneo ini.
Hamil membuatkan saya makan dengan sihat dan hidup dengan bahagia. Menjaga kesihatan tahap optimun, rehat yang terlampau cukup, tidur yang agak berlebihan. Dengan kehamilan ini jugalah asbab saya meletak jawatan di agensi NGO apabila di sahkan hamil bagi mengelakkan kesukaran pada diri sendiri dan orang lain. Saya mahu merasai perjalanan hamil ini sepenuh hati tanpa berbelah bahagi.
Gangguan alahan mengandung sememangnya teruk dan luar jangkaan saya. 4bulan pertama yang dasyat. Impian menjadi suri rumah, kononnya bergoyang kaki tidak semudah yang disangkakan. Ujian awal kehamilan mengusutkan jiwa. Namun saya tekad, setiap kehamilan, kali ini dan yang akan datang pada tahun-tahun mendatang, saya akan menemani perjalanannya sepenuh hati, terima kasih ABDR atas peluang menjayakan janji saya untuk kehamilan kedua ini.
Hobi membaca membuatkan saya banyak mengulangkaji ilmu pelajaran baru, iaitu hamil, bersalin, keibubapaan dan pelbagai ilmu baru, yang tidak pernah di ambil kisah oleh saya dan sebilangan besar golongan muda remaja selagi belum memasuki alam rumahtangga dan bergelar ibu bapa. Tak ambil peduli. Kononnya ilmu ini datang secara tak langsung setelah berkahwin dan berkeluarga, tetapi rupanya ilmu ini jauh lebih penting dan rumit. Sungguh mencabar!
GENTLE BIRTH
Saya hadir ke kelas yang dianjurkan oleh pihak hospital, Kelas ante-natal, belajar bersalin dan teknik pernafasan yang betul mengelakkan dari keadaan kritikal ketika bersalin. Kelas penyusuan dan saya turut mencari ilmu-ilmu tambahan selain ilmu perubata, seperti amalan praktikal kesihatan wanita dan cara berpantang yang rasional.
Melalui Puan Ira Uzair, mentor bertauliah Amani Birthchild Class, saya diperkenalkan dengan satu kempen kesedaran dikalangan ibu-ibu muda iaitu kaedah bersalin secara normal, lebih komersil dikenali sebagai hypnobirthing dan bersalin secara alami. Kaedah percaya diri sendiri dan bersalin dengan ilmu tanpa tekanan dan ragu-ragu. Mempromosikan kelahiran natural tanpa dadah dan intervensi yang tidak perlu (unnecessary intervention). Menarik dan saya langsung tidak sangka ia sesuatu yang baru. Bagi saya, bersalin sesuatu yang sudah bermula sejak turun-temurun, maka ia sepatutnya sesuatu yang sudah menjadi kelaziman masyarakat!
Suka saya kongsikan pautan ini pada ibu-ibu hamil supaya mewajibkan diri menghabiskan kelas online dibawah ini untuk persiapan bersalin, ia sangat membantu dan memberi gambaran yang jelas. Takut pada sesuatu yang tidak pasti, tidak membantu memudahkan detik kelahiran cahaya mata kita. Lagi pun ia juga PERCUMA.
KEHAMILAN
Perkongsian suami sebagai staff perubatan mengenai proses bersalin, sememangnya betul-betul membantu. Sebenarnya perasaan yang tenanglah yang memudahkan proses kita bersalin. Hormon yang menenangkan tersebut adalah hormon oxytocyn dan prolaktin. Sama seperti hormon untuk menjayakan penyusuan. Jadi apa-apa aktiviti yang memperbanyakkan hormon oxytocyn akan memudahkan proses bersalin. Contoh yang memperbanyakkan hormon tersebut adalah seperti melakukan hubungan intim suami isteri yang kerap pada minggu ke 37 ke atas, nipple stimulation sebagai pencetus kontraksi dan sentuhan suami belaian yang mendamaikan. Saya sentiasa ingat pesan suami hormon oxytocin ini hanya boleh dihasilkan bila ibu ceria dan sentiasa tersenyum. Jika kita menyusu sepenuhnya susu badan, amalkan teknik yang sama.
Perineum massage
Terima kasih pada Puan Afifah, yang memperkenalkan Minyak Kelapa Dara untuk saya makan, urut dan paling mustajab untuk urutan perineum. Ia membantu kulit saya tanpa rekahan, kulit bayi yang mulus dan paling gembira, saya selamat bersalin tanpa koyak atau episiotomy (guntingan perineum). Amalan urutan ini boleh dimulakan seawal 5bulan ke atas.
BERSALIN
Alhamdulillah, sebulan sebelum ulangtahun hari lahir saya, berkongsi tarikh hari yang sama, cuma berbeza bulan, saya melahirkan seorang puteri sulung yang diberi nama IFTITAH (Pembuka UTAMA). Bayi dilahirkan di perantauan Malaysia Timur, di satu-satunya hospital yang hanya mengkhususkan wanita dan kanak-kanak di Malaysia, Hospital Likas, Sabah.
Disambut oleh ayahnya sendiri selaku staff perubatan, sememangnya peluang emas yang sangat saya hargai. Bayi dilahirkan tepat jam 5:55pagi waktu subuh setelah 5jam saya bertarung nyawa secara alami tanpa sebarang pencetus kelahiran (inducer). Unik, rasa sakit bersalin sememangnya sukar ditafsir. Tidak pun seperti cerita-cerita ngeri bersalin kebanyakan kita. Namun bagi saya, sakit senggugut jauh lebih menyeksakan!
1 Minit selepas dilahirkan. |
BERPANTANG
Tak sabar saya berpantang sekali lagi pada tahun hadapan, kenangan berpantang cukup menggembirakan. Saya hairan ramai antara kita merasa terseksa kerana soal berpantang. Saya gembira kerana hari-hari bagaikan suasana seperti ke pusat urut dan SPA. Bermula dari bangun pagi, mandi herba, di lumur scrub seluruh tubuh, kemudian di urut pula seluruh tubuh dan di bengkung rapi, di pilis di dahi, minum air dan teh herba, makan makanan yang serba sihat dengan gizi yang lengkap. Pelbagai resepi pantang sudah saya sediakan awal-awal, senang suami sediakan. Saya kongsikan untuk semua pautan : RESEPI PANTANG , terdapat siri 1 hingga 4.
Soal kekurangan pembantu membuatkan aktiviti ketika pantang agak terhad. Pada awalnya saya agak buntu apabila ibu yang saya datangkan dari semenanjung untuk memberi tunjuk ajar mengenai selok belok berpantang, kerap menasihati saya supaya berehat sepenuhnya setiap masa. Ya, agak kekok disuruh rehat dan tidur sahaja. Selama menjadi anak gadis, itulah dambaan saya!
Inikan pula, saya biarkan ibu sibuk melakukan bermacam-macam kerja khasnya untuk saya. Pernah juga dimarahi ibu beberapa kali kerana duduk terlalu lama, menghadap komputer peribadi, melayari Facebook. Pesannya duduk terlalu lama akan melambatkan proses pemulihan regangan bersalin di bahagian perineum.
Bak kata orang tua-tua, nak pakai lama!
Tak sabar untuk saya pakai buat kali yang seterusnya. Kini, saya pula yang sedia untuk berkongsi tips dan menghantarkan set berpantang ini ke mana-mana seluruh Malaysia.
Berminat jadi jadi pengedar atau mahu dapatkannya untuk berpantang dengan mudah ?
Hubungi saya.
KEHAMILAN KEDUA
Ya, kini saya sedang hamil beberapa bulan. Perjalanan kali ini lebih tenang dan seperti dirancang. Usai penyusuan susu ibu lengkap 2 tahun anak pertama, saya berpeluang hamil lagi. Kali ini alahan hamil hanya datang sesekali. Doakan perjalanan kehamilan ini, agar bayi ini sihat dan ibu ini sentiasa bersemangat !
---------------------------------------------
Pelukis bangunan, ruang dan seni
afrchitect@gmail.com
nurafdalilabas@gmail.com
Awsome
ReplyDeleteSaya hbs berpantang lain jd pulk digaan xterhingga
-lyn-