Friday, November 28, 2014

Jom Renovasi Kabinet Dapur

Teks: Afdalila Abas

Alhamdulillah, fasa pertama renovasi dapur basah (outdoor wet kitchen) rumah saya berjalan lancar. Sibuk membeli bahan, mengubah keputusan dan berusaha  mencapai minimum bajet yang telah dirancang. 

Usaha merancang dan membentuk ruang dapur menjadi lebih mudah jika kita melakukannya dengan tertib. Namun, kita juga perlu bersedia dengan segala kemungkinan yang boleh membantutkan perancangan seperti pengubahsuaian mengambil masa lebih daripada sepatutnya, bahan dan kemasan yang dikehendaki sukar ditemu di pasaran, kos perbelanjaan melebihi belanjawan. 

Justeru itu, penting bagi kita:

  • Merangka kedudukan dan pelan lantai dengan jelas (dapatkan khidmat perekabentuk).
  • Melengkapi unsur pencahayaan dan pengudaraan yang berkesan.
  • Memastikan langkah keselamatan pada tahap terbaik.
  • Mengambil kira pembinaan atau kerja meroboh dinding diikuti pemilihan jenis atap yang sesuai. Jika behajat memasang panel lantai kayu, sebaiknya lindungi lantai itu dengan bahan antikulat dan pemeluwapan(Damp Moisture Proof).
  • Menentukan lokasi dan bilangan pemasangan pintu dan tingkap.
  • Memberikan perhatian terhadap pengubahsuaian sistem saluran paip dan pendawaian elektrik(terutama jika diletakkan dishwaher atau washing machine pada kabinet pasang siap).
  • Memasang meja kerja dan penyediaan sinki dan  kelengkapannya.
  • Menetapkan jenis dan kaedah turutan pemasangan kemasan dinding (terutama kemasan dinding jenis yang perlu dipasang sebelum pembinaan kabinet).



Kedudukan sinki (sink), dapur (stove), peti ais (fridge) dan ketuhar (oven) memainkan peranan yang penting dalam sebuah dapur. Jadi, perkara pertama yang perlu dilakukan sebelum kerja renovasi adalah menetapkan kedudukan barang-barang tersebut. 


1. SINKI 
Paling sesuai berhadapan atau berdekatan dengan bukaan udara atau tingkap di dapur. Ini bukan sahaja dapat memberi keselesaan kepada pengguana namun ia juga mengelakkan kelembapan dalam dapur terutamanya sinki yang sering dalam keadaan basah.
Cahaya matahari dan angin dari tingkap dapat mengeringkan sinki yang basah dengan lebih berkesan. Ini juga salah satu cara untuk memanjangkan jangka hayat kabinet dapur kita. Jangan lupa posisikan drainer(penyejat magkuk pinggan) ketika merancang kaunter kabinet. Kedudukan drainer sering kali di abaikan dalam merancang gabungan rekabentuk kaunter kabinet dan sinki.
  

2. DAPUR MASAK
Bagi dapur pula, ia adalah lebih sesuai diletak berhampiran dengan sinki. Ini bukan sahaja dapat memudahkan pengguna namun penyedut asap (hood) dapat mengeluarkan asap dari dapur dengan lebih berkesan. (Semakin pendek paip penyedut asap, maka ia dapat memaksimumkan fungsinya untuk mengeluarkan asap dari dapur kita). Lokasi yang agak sesuai bagi dapur adalah 1.5 kaki ke 3 kaki jarak dari sinki, jadi ruang antara sinki dan dapur adalah cukup untuk dua orang pengguna untuk melakukan kerjanya di depan sinki dan dapur.



3. KETUHAR DAN OVEN
Barang-barang elektrik voltan tinggi dan ia adalah tidak sesuai kalau diletak berhampiran dengan dapur memasak. Maka menyediakan jarak sekurang-kurang 3 kaki di antara dapur dengan ketuhar adalah lebih selamat bagi pengguna. Ketuhar biasa memerlukan ruang 600m x 600mm, jadi ia boleh diletakkan di kabinet bawah atau di dalam kabinet tinggi.
Demi mengoptimumkan kegunaan kabinet supaya kita boleh simpan lebih banyak barang, kabinet tinggi merupakan salah satu pilihan yang baik. Di samping itu, jika kita letak ketuhar dalam kabinet tinggi, maka kita boleh menentukan ketuharnya pada ketinggian yang sesuai dan menyenangkan kita semasa menggunakan ketuhar itu nanti.




4. PETI SEJUK 
Antara salah satu barang yang agak besar dalam dapur, kedudukan yang paling sesuai untuk peti ais adalah di hujung dapur supaya  ruang dapur tampak lebih luas. Kebanyakan pereka kabinet dapur suka letak kabinet tinggi di tepi peti ais supaya ia tutup tepi peti ais supaya hanya nampak pintu peti ais. Ini merupakan cara yang baik untuk menyembunyikan peti ais yang besar ini di dalam kabinet demi menjelmakan dapur yang lebih kemas dan teratur. Walaubagaimanapun, pengguna dinasihatkan supaya menjarakkan sekurang-kurang 4 inci di antara peti ais dengan kabinet tujuannya untuk membekalkan sistem pengudaraan yang lebih sempurna.





SEGITIGA DAPUR
Segitiga ini dimaksudkan dengan kedudukan sinki(wash), dapur(cook) dan juga peti ais(storage). susunan ketiga-tiga barang ini di tiga bucu masing-masing, menampakkan satu segitiga di dapur . Dengan adanya segitiga ini, kita dapat optimumkan pergerakkan kita dalam dapur.Rule of  thumb.


Ruang dapur yang sedang saya renovasi kabinetnya berbentuk L, dimana peti ais tu terletak di hujung L, ini adalah supaya peti ais yang besar tidak menghalang gerakan aktiviti kebiasaan penyediaan makanan di dapur dan dapat melindungi ruang  dapur dari pandangan terus tetamu dari meja santapan di ruang makan. Sinki satu lubang yang bersaiz agak besar dan dalam dipilih untuk keselesaan kerja dapur.



0 comments :

Post a Comment