Friday, November 21, 2014

Psikologi warna penataan hiasan kediaman.

Teks: Afdalila Abas


Warna adalah komponen penting dalam dunia hiasan dalaman. Bila memilih warna untuk rumah kita, secara semulajadinya, kita akan tertarik dan menyukai warna tertentu disebabkan warna tersebut memberi kesan terhadap perasaan dan mood kita. 





Warna juga telah terbukti menghasilkan respon secara fizikal. Jadi, pertimbangkanlah psikologi warna semasa kita merancang skema warna untuk mana-mana ruang di dalam rumah kita. Maklumat ini dapat membantu kita memperoleh mood yang diingini pada ruang penataan hiasan dalaman.



BIRU

warna langit dan lautan, terkenal sebagai "warna kegemaran" ramai. Biru mencerminkan kepercayaan, bebas berdikari, dan komited. Ia sangat popular untuk bilik tidur, dan selalu digunakan untuk dekorasi pejabat. Banyak bilik tidur berwarna biru kerana warnanya tenang dan nyaman. Biru juga menggambarkan keamanan, kesejahteraan, dan selamat. Apa yang menarik untuk info kita, secara global warna biru ialah warna yang paling selamat digunakan. Biru mudah untuk dipadankan dengan banyak warna, dan sebab itulah skema warna biru selalu dipilih. Biru juga dikenali sebagai warna 'bersih'. Jadi ia sangat sesuai untuk bilik air dan ruang mencuci pakaian. Tetapi, penggunaan biru untuk bahagian dapur agak kurang efektif.






KUNING

Menyerlahkan suasana tawa riang, ceria, kegembiraan, dan hari-hari indah. Seseorang yang dikelilingi warna kuning akan merasa lebih optimis. Tetapi berhati-hatilah dengan warna ini, jika tonanya keterlaluan. Kerana kuning lebih terserlah berbanding warna lain di sekelilingnya. Ia lebih mudah menyebabkan keletihan mata berbanding warna-warna lain. Kuning juga warna api dan kajian menunjukkan bayi mudah menangis di dalam bilik berwarna kuning terang.Sesuai untuk ruang makan ataupun dapur, menimbulkan mood untuk makan dan berjamuan. parti.






HIJAU 
Konsep yang menyemarakkan suasana semulajadi, subur, sihat dan muda. Dengan keseimbangan antara warna warna 'sejuk' dan 'hangat' (biru dan kuning), kehijauan semulajadi ini memperlihatkan rasa segar dan nyaman. Ciri semulajadi yang dimiliki juga membolehkan hijau sangat mudah dipadankan dengan warna lain. Ia selalu digunakan dalam hiasan untuk mendatangkan kesan nyaman. Hijau juga dikaitkan dengan iri hati, tuah, dan murah rezeki. Dan secara tradisi, dikenali sebagai warna keamanan.





MERAH


warna paling 'hangat' dan bertenaga dalam spektrum warna. Merah digunakan untuk merangsang badan dan fikiran, serta memperbaiki peredarannya. Jika kita ingin menarik perhatian seseorang, gunakanlah merah. Pastinya merah tidak sesuai untuk bilik si manja, tetapi sangat berkesan untuk menjadi daya tarikan terbaik. Walaupun ia bukanlah pilihan untuk persekitaran yang tenang, merah kerap digunakan di ruang makan untuk merancakkan sesi borak sembang dan menambah daya tarikan di situ. Kita tidak digalakkan menggunakan merah secara keterlaluan, lebih baik dengan jumlah yang sedikit pada tempat yang sesuai. Merah juga boleh menampilkan ciri elegan dan menambah banyak karakter pada skema warna - sama ada tradisional mahu pun kontemporari.




UNGU 


Ilusi eksotik, kerana warna ini warna yang jarang, unik danluar biasa bagi warna alam semulajadi. Ia melambangkan raja, bangsawan, kerohanian, dan misteri. Ungu mengandungi keseimbangan unsur merah yang merangsang dan biru yang menenangkan. Kesan sesetengah tona ungu mungkin agak keterlaluan, tetapi penggunaan tona seperti pastel lavender untuk sebuah bilik boleh memberi rasa segar dan 'terangkat'. Dengan unsur raja dan mistik, ungu menggambarkan ciri kemewahan dan kekayaan. Warna ini juga boleh membantu minda dalam menyelesaikan masalah. Selain itu, ungu turut menjadi warna kegemaran bagi kebanyakan remaja perempuan.





MERAH JAMBU 

Simbol keremajaan, dan keseronokan. Merah jambu ialah warna kegembiraan, ceria, dan adakalanya seperti 'bebas daripada sebarang masalah'. (Rasional dikaitkan dgn remaja !) Ia dibayangkan sebagai warna romatik, dan rasa kelembutan. Warna merah jambu juga ialah warna yang tepat untuk cinta dan kasih sayang.




JINGGA

Warna yang terhampir dengan merah, ialah warna berkait rapat dengan masa seronok, suka ria dan hari-hari yang bertenaga. Ia juga dikaitkan dengan keinginan. Kebiasaannya, berbanding warna-warna lain, terdapat kesan positif dan juga negatif yang kuat pada warna jingga, di mana warna jingga asli secara umumnya akan melahirkan rasa 'sangat suka' atau 'sangat benci' pada seseorang. Warna tersebut mampu memberi kesan yang baik pada tema kontemporari, tetapi bukannya pada tema tradisional. Pemilihannya untuk ruang dapur dan ruang makan boleh mewujudkan rasa yang lebih selesa dan  kasual.




COKLAT




Warna ini menyatakan kestabilan, kebolehpercayaan, setiakawan, dan senang didekati. Coklat ialah warna bumi (tanah) dan dikaitkan dengan semua unsur semulajadi dan organik. Ia juga mampu memberi suasana nyaman dan selesa. Coklat sesuai digunakan untuk ruang-ruang yang kerap menjadi tumpuan seperti ruang tamu. Coklat juga sesuai dipadankan dengan warga 'garang' atau warna 'hangat'.




HITAM

Persepsi bagi kuasa, kekuatan, elegan, misteri, dan mewah. Ia juga warna untuk kebijaksanaan, selain menunjukkan stail dan 'tak lekang dek zaman', dan satu warna penegasan yang cantik untuk hiasan dalaman. Hitam menonjolkan ciri 'serius' yang dapat membangkitkan emosi yang kuat. Ia mudah mengganggu sekiranya terlalu banyak warna hitam. Kecerahan hasil gabungan hitam dan putih lazimnya memperlihatkan ciri yang tersangat moden ala konsep milenia.

PUTIH
Menzahirkan ketulenan dan kesucian. Ia adalah gabungan semua warna yang ada di dalam spektrum warna. Ia juga digunakan untuk menghasilkan kesan 'tanpa warna', atau neutral.
  




KELABU

warna bagi intelek, berpengetahuan, dan bijaksana. Ia diertikan sebagai tahan lama, klasik, dan selalu juga sebagai licin atau halus. Ia juga lebih bersifat konservatif dan membawa maksud berkuasa. Kelabu juga dianggap sebagai warna yang boleh bertolak ansur, mungkin kerana kedudukannya di antara hitam dan putih. Kelabu adalah warna neutral yang sempurna, di mana para pereka selalu menggunakannya sebagai warna bagi latar belakang. Sedikit sentuhan warna kelabu berguna untuk mendapatkan mood yang mantap, tetapi, terlalu banyak warna kelabu, hanya akan menimbulkan rasa 'kosong' , kelam dan tekanan.





Warna warni ?
Rujuk entri  kepelbagaian warna.

---------------------------------------------------------------------------------
Pelukis bangunan, ruang dan seni
FB : Afdalila Abas
FB syarikat: afrchitect.co

afrchitect@gmail.com

0 comments :

Post a Comment