Selamat datang ke Blog Afdalila Abas :)

'Tegaknya rumah kerana tiang dan tegaknya manusia kerana kaki'.

Selamat datang ke Blog Afdalila Abas :)

' Pucuk dicita ulam mendatang' .

Selamat datang ke Blog Afdalila Abas :)

'Tak kan Melayu hilang di dunia'.

Selamat datang ke Blog Afdalila Abas :)

Kepakaran saya adalah menghasilkan rekabentuk senibina yang bermanfaat untuk penghuni kediaman dan binaan premis perniagaan yang mesra alam, mesra pengguna, universal design, dan mencakupi elemen-elemen penting untuk iklim tropika serta sejajar dengan garis panduan senibina dalam Islam. - Afdalila Abas

Tuesday, January 13, 2015

Pro bono projek pasca banjir 'tsunami sungai' di Kelantan

Teks: Afdalila Abas

Masjid menjadi teduhan, saat awan mendung kelamnya malam. Beberapa minggu yang lalu, mak yang baru saja sampai ke Kelantan, balik dari membawa jemaah Umrah terpaksa sambung beriktikaf di Masjid. Menumpang teduh. Paras air naik mendadak. Belum pernah banjir seburuk ini dan kami 15tahun tidak pernah menghadapi kemelut bencana banjir. Tiada persediaan langsung. Jangkaan hujan kali ini biasa-biasa bagi kami, meleset sama sekali.



Nampak tak rumah ibubapa saya? Nampak tak rumah mertua saya?
Gambar dari pesawat sebelum suami mendarat di lapangan terbang Peng Chepa. Rumah kami berdua hanya sekitar radius itu.


Pada sisi lain pula, habis prototaip dan model-model bangunan, kertas-kertas lukisan dan kerja-kerja seni rapuh dan hancur, lembap dan berlumpur dibasahi hujan dan air yang sedia melimpah masuk ke teratak itu.. Cendawan tumbuh berpesta tahun baru ini, pada hasil kerja seni itu semua. Boleh jadi dan sudah pasti.

Hidup ini nyata fatamorgana. Sekalipun ``masterpiece``  yang sudah siap dibina di tanah, boleh jadi tampak bumbung saja saat bencana itu. 

Banjir Allah Maha Hebat !


Stadium Kota Bharu yang akan mengambil masa sebulan dibaik pulih .
"Mak tak dapat cam mana satu drawings dan model. Tak nampak apa ni. Lumpur saja. Mak minta Izin, terpaksa buang semua. Kalau simpan belum pasti balik ke asal rupa." Mak sungguh memahami dan menghargai nilai seni dan portfolio kerja si anak akiteknya. 

Siapalah manusia bergelar arkitek, bilamana perekabentuk bumi Allah ini berbicara cerita bencana dan malapetaka. Allah Maha Berkuasa atas segalanya.

Pejam mata. Redha.



Misi bantuan tajaan Airasia Foundation untuk IkramHealth dan Papisma dari Sabah. Saya dan suami, pasangan tengah.

Alhamdulillah, dua minggu telah berlalu, kerisauan dan kebimbangan sudah berkurang, suasana bencana banjir melegakan semua pihak. Ia sudah berakhir. Tidak dapat langsung saya fokus berblog, Saat suami terpaksa turun ke tanah halaman semenanjung untuk Misi perubatan. Saya hanya menumpang teduh di kediaman kawan di bandar kota kinabalu (sarat di minggu-minggu terakhir kandungan). Mendengar khabar dari jauh. Fikiran yang bercelaru.

Tempahan Rekabentuk turut tertangguh. Dua klien terpaksa saya tolak.
Maaf, situasi kali ini agak kritikal.

Dari borneo sini , saya berusaha berkebajikan. Merekrut pasukan kontraktor, jurutera dan rakan-rakan arkitek serta pensyarah, berbincang berusaha mencari idea pro bono. Material murah dan cepat. Menghubungi kumpulan-kumpulan sukarelawan yang dapat membangunkan pusat teduhan segera dan rumah-rumah sementara dan gantian bagi yang hanyut dan hancur.


Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Betapa susah kita melihat kesusahan orang lain, lebih susah lagi orang yang menanggung 







Masjid yang dapat dibina semula menggantikan yang baru. Gambar updated minggu ini.

For the public good; usually shortened to pro bono ; is a Latin phrase for professional work undertaken voluntarily and without payment or at a reduced fee as a public service.


Saya kongsikan kajian bahan binaan untuk bantuan ahli keluarga dan mangsa banjir b
agi yang berminat . Hubungi terus pakar bahan ini. Terima kasih Ar Zamri atas perkongsian, pensyarah yang menyokong penuh idea saya ini, merangkap ketua editor Majalah Arkitek Malaysia.

Local materials, light weight, durable, fast construction, affordable.

1. Duralite woodwool composite panels for permanent formwork and wall panels.
Dato' Dr. Abd. Aziz Muhamad
duralitegreen@gmail.com 

2. Structural Timber Spacer system (SBS)
Prof. Dr. Rahinah Ibrahim Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM

rahinah.upm@gmail.com

3. Bamboo Construction 

En. Rahim (Bamboo Construction expert)



Juga saya viralkan sekali kenalan dalam industri binaan dan pasukan kebajikan yang turut membantu. Ayuh terus memberi bantuan, memberi teduhan pada yang memerlukan.

4. The cabin dan The cube
Facebook page.







5.Economy House constructor, Mohd Izzat
Facebook Alfateh properties


6. Raja Shamri, Volunteer Team
Facebook page.

7. Dato Husam Musa 
pejabatdh@gmail.com 
019-9432023 







Sumbanglah apa saja yang kita mampu mengikut kepakaran dan kemampuan kita, hari ini hari mereka di uji. Hidup masih perlu mereka teruskan. Apa yang penting Kerjasama!

Ringan sama dipikul, berat sama dijunjung.
Rumahku Syurgaku

-----------------------------------------------------------------------------------------

Pelukis bangunan , ruang dan seni

Afdalila Abas




Friday, December 12, 2014

Tip Memilih Lampu

Teks: Afdalila Abas

Pensyarah saya di UIAM, Dr Srazali Ariffin,  Jabatan Senibina adalah salah seorang Graduan PHD dengaan kajiannya mengenai pencahayaan ruang. Saya suka perkongsiannya mengenai ruang dan cahaya. Kami selalu dinasihatkan untuk sambung belajar dan mendalami satu-satu aspek senibina dengan arif.Supaya menjadi PAKAR, rujukun ramai dan dapat menyebarkan ilmu. Sepertimana beliau, membuat Kajian khas pencahayaan ruang. 

Ini bukanlah perkongsian dari dia.
Tapi inspirasi saya untuk berkongsi entri kali ini.


SETIAP ruang memerlukan kaedah penyelesaian pencahayaan berbeza. Baik ruang tamu, bilik tidur mahupun ruang penyimpanan bawah tanah, pelan pemasangan lampu harus dipasangkan mengikut kesesuaian dan keperluan ruang.



Tip Memilih Lampu

 # Untuk menjadikan ruang sempit nampak luas, kita disyor memasang lampu pencahayaan ke atas di sudut strategik di lantai.


 # Bilik luas nampak selesa dengan pilihan lampu dinding bercahaya malap.

 # Jika kita menjadikan lampu hiasan candeliar sebagai titik tumpu ruang, pastikan tiada sebarang lampu tambahan ditempatkan berdekatan. Ini kerana lampu ini berpotensi menenggelamkan keindahan candeliar itu.


 # Lampu dengan pencahayaan boleh laras (dime mode) membantu menyenangkan hidup. Ia membenarkan kita mengawal jumlah cahaya mengikut keperluan pada sebarang masa dan tempat.


 # Lampu pendarfluor lebih baik berbanding bercahaya terang kerana mampu menjimatkan sehingga 70 peratus kos elektrik. Tidak dinafikan harganya lebih mahal, namun jangka hayatnya 10 kali lebih panjang daripada lampu bermentol pijar.


 # Sediakan jadual membersih lampu. Mencucinya secara berkala menghasilkan kaca jernih yang mampu menyediakan impak cahaya berkesan.


 # Penyediaan lampu landskap berbeza dengan pencahayaan untuk dalam rumah. Pelan pemasangan sempurna mengkhususkan satu atau dua lampu reka bentuk menarik untuk ditempatkan di pusat tumpuan laman disusuli beberapa lampu lain di sekeliling kawasan itu.


 # Sebagai langkah keselamatan, semua lampu dan kabel laman rumah ditentukan berjarak sekurang-kurangnya dua meter daripada kolam ikan atau kolam renang.

-----------------------------------------------------------------------------------------

Pelukis bangunan , ruang dan seni
Afdalila Abas


Thursday, December 11, 2014

Mamut Villa Resort Homes

Teks: Afdalila Abas


Bunga-bunga mekar merah menyala hari ni laman rumah, cantiknya cuaca hari ni !

Bulan lepas saya ajak suami terokai sekitar kawasan kediaman kami. Dari google.maps saya dapat discover satu lombong terbesar di Borneo berada dalam radius kediaman kami. Mt. kinabalu Holiday Camp , dibangunkan di kawasan bersebelahan lombong. 8km dari pagar rumah. Lokasi percutian  eco-friendly tersebut rupanya tertutup  dan hanya pelanggan yang sudah membuat tempahan awal melalui talian diberi laluan masuk ke sana. Patah balik dengan kecewa, walaupun kami sangat beria-ria ke sana kerana khabarnya antara lokasi terbaik punya untuk melihat matahari terbenam !






Tahukah apa yang dimaksudkan dengan perkataan MAMUT 

Perkataan ini berasal dari tutur bangsa sungai di daerah Ranau iaitu suku Sugut mengungkapkan 'ma-mut' bermaksud panas. Suku Sugut yang tinggal di pesisir sungai Sugut mengungkapkan 'mamut' bagi menggambarkan kawasan di Mamut itu sentiasa mengeluarkan wap panas dari bawah tanah dan mempunyai beberapa kawasan air panas menggambarkan mamut adalah kawasan yang mempunyai aliran air panas di kaki Gunung Kinabalu sehingga mengunjur ke poring, sekarang menjadi Tapak Rekreasi dan pelancongan di bawah pengawasan Taman-Taman Sabah. Kolam air panas. Walaupun dengan kewujudan 'sungei mamut' atau air panas di Mamut, sebenarnya Mamut adalah kawasan yang sejuk sama seperti kawasan kaki gunung di Mesilou, Kundasang.


LOMBONG MAMUT
Ranau adalah lokasi utama projek perlombongan yang terbesar di Malaysia, Mamut Copper Mine , sebelum berhenti beroperasi pada tahun 1999.  Pada kemuncak aktiviti perlombongan , Ranau telah berubah menjadi sebuah bandar yang berkembang maju . Syarikat perlombongan membina Jambatan Tamu Ranau di Sungai Liwagu , Ranau Golf Course, dan juga membuat sumbangan kepada dana bangunan sekolah , bas , dan perhentian bas (sumber wikipedia). Juga tercatat sebagai lombong besar sumber galian utama Malaysia dalam buku teks Kajian Tempatan,Sekolah Rendah dan Geografi, Sekolah Menengah. Tinggal sejarah.



Penduduk setempat bercerita kononnya, orang tempatan tahu bahawa ia sebenarnya adalah lombong emas. Mengikut cerita seorang kawan,, pak ciknya dulu hidup mewah dan segak dihormati ketika bertugas di sana, sehinggalah lombong ditutup. Hidup yang di ibarat kan roda. Naik dan turun berpusing-pusing. Terdapat  kesan peninggalan kuaters perumahan pekerja sekitar 5km sebelum sampai ke lombong. Saya cuba mengandaikan rumah-rumah itu agak banyak, besar dan luas,  tapak-tapak lantai saja yang ditinggalkan. beberapa court permainan dan dewan. Juga barangkali deretan kedai. Semua hanya tinggal lantai dan dikelilingi pokok-pokok yang besar- besar dan redup. Sesuai untuk pengambaran filem seram!




BUNGA KEBANGSAAN
Walaupun kawasan sudah terbiar , namun masih dapat dilihat kesan penataan lanskap  sebuah perumahan dalam taman yang teratur dengan pengaruh perumahan kolonial atau enggeris. Pokok-pokok yang besar meluruhkan bunga-bunga kuning dan merah sepanjang jalan besar, jalan masuk ke laman rumah masing-masing di hiaskan dengan pokok bunga raya dan dipagari sekeliling rumah dengan pohon-pohon rendah ,  tampak seperti dulu ia di kemas rapi menjadi fences (pagar yang dibentuk dari pokok). Suasana home garden!



Hari ini, bunga kebangsaan itu turut merah mekar di laman rumah kami. Saya hanya membawa balik beberapa ranting, namun sudah pun berbunga. 

Semangat patriotik !


HUJAN EMAS DI BAWAH BAYU
Kediaman kami ini deretan rumah teres paling tinggi di daerah Ranau. Sejam perjalanan dari Pekan Kundasang kaki bukit gunung kinabalu, puncak tertinggi Asia Tenggara. Setiap pagi, mata dapat singgah menatap jelas, puncak batu senibina tuhan tersergam indah dari jendela rumah kami. Panorama di belakang dapur juga tidak kurangnya asyik memukau. Tak ubah seperti kertas dinding. Dapat melihat sebahagian besar daerah Ranau siang dan malam. Hari-hari konon ibaratnya berlibur mencari ketenangan di luar kota!







SENIBINA
Deretan rumah teres ini belum berada di Google.Maps apatah lagi di Instantviewstreet.Google. Projek kediaman ini baru saja habis waranti pembinaan April yang lalu. Dibina dengan rekabentuk minimalis moden dengan kemasan batuan hijau. Tetamu yang berkunjung pasti agak teruja kerana di sebalik jalan masuk yang gelap, semak-samun dan bukit-bukau adanya deretan rumah ini. Mamut Villa Resort Homes, 4bilik, 3tandas. Binaan yang compact , pelan lantai disusun ideal untuk penghuni berkeluarga. Gabungan ruang tamu-ruang makan menambah kelapangan ruang. Ruang simpanan yang mencukupi disediakan ; ini sering diabaikan dalam sesebuah projek rumah tanpa ruangan bawah tanah .

Rumah saya yang ada kereta tu .

Corner lot kiri ni.


Beberapa rumah di kanan kiri kediaman kami juga telah dibuat homestay oleh pemilik kediaman. Jika mahu bermalam di kawasan ini, hubungilah saya ;)


BINAAN
Senibina dan rupabentuk tidak dapat menutup cela binaan. Rumah yang masih berbau kedai ini terdapat beberapa retak sana-sini. Hasil kerja agak kelihatan bagai lepaskan batuk di tangga sekalipun rekabentuk tampak sekali pandang elegan. Sebulan selepas habis waranti pembinaan, lantai dapur basah pecah teruk, paip dapur bocor dan tangki rumah melimpah. Gaji saya terpaksa di korbankan, terpaksa ambil EL , membaiki siling rumah yang koyak rabak. (Ketika masih bekerja awal tahun ini).

Dalam entri Jom Merombak Dapur, saya ceritakan proses membaiki lantai pecah tersebut dan memperelokkan paip dan sinki yang bermasalah ini. Dalam entri Pilih Kontraktor, saya menegaskan pentingnya arkitek di lapangan binaan melihat bagaimana projek dijalankan setiap stage to stage ketika sedang dibina. Tanggungjawab projek arkitek dan Site supervisor memastikan pembinaan in order mengikuti lukisan blueprints yang disediakan.


Pilihlah kontraktor yang bertanggungjawab, membuat kediaman kita seperti kediamannya sendiri. Hatta hal-hal kecil akan menjadi lebih besar lama-kelamaan jika tidak dicegah dari awal.Maka kesudahannya membazir dan penghuni sakit hati !

"Ms, kenapa siling plaster rumah boleh jadi begitu ?" Tanya pelajar.
"Pilihlah kontraktor yang amanah." Saya tersenyum.


Pejam sajalah mata, hidup ini sementara ? 




Saya turut membawa semua pelajar senibina kolej tempat saya mengajar ke tapak lokasi Mamut Villa Resort Homes Phase 2, tapak cadangan untuk tugasan rekabentuk Bangunan Rumah Anak Yatim, tugasan kelas rekabentuk yang saya berikan kepada mereka awal tahun ini, semester terakhir  bekerja sepenuh masa mengajar mereka . Kami berpeluang bertemu pekerja tapak dan melihat semua lukisan blueprints projek perumahan ini.


TANGGAPAN
Karier sebagai perekabentuk ,pensyarah dan arkitek menjadikan pelajar, rakan, kenalan, sanak-saudara dan keluarga mara menjadikan rumah kediaman saya titik rujukan , terutama dalam melihat Hasil Seni di kediaman ini. Kononnya aplikasi ilmu dan amal sebagai rumah contoh, showroom. Tidak dapat di nafikan ,itulah cabaran menjadi orang seni. 

Saya teringat di kampus ketika zaman belajar di universiti, studio belajar, kediaman hostel atau rumah sewa pelajar seni (seni halus, seni lukis, arkitek dan sewaktu dengannya) adalah gambaran sebenar kehidupan. 

Kami manusia biasa yang rupanya dianggap mesti lain dari yang lain, luar biasa.





Jika anda ke Bumi borneo, sudilah singgah ke sini. 

Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan.

Tak kenal maka, tak cinta!

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pelukis bangunan, ruang dan seni.
afrchitect@gmail.com
nurafdalilabas@gmail.com

Sunday, December 7, 2014

Rombak Kabinet Dapur Mertua

Teks: Afdalila Abas

Seminggu dua ini saya kurang sihat untuk fokus menulis, jangkitan sakit mata  kami sekeluarga mengganggu perjalanan penulisan dan hasil karya. Di hambat lagi dengan datelines beberapa ubahsuai kabinet dapur klien, kebanyakannya kenalan-kenalan FB. Alhamdulillah, saya tetap  tersenyum untuk memberi yang terbaik, manfaat buat semua.

Sejak berblog hidup saya agak 'huru-hara' sebab tempahan rekabentuk semakin hari semakin bertambah. Alhamdulillah rezeqi ini  semua  dari  doa dan sokongan kalian  yang  sudi  singgah ke blog ini. 

Sebelum ini saya selalu berangan untuk merekabentuk dapur adik-beradik atau keluarga terdekat  sebagai permulaan menambah portfolio rekabentuk saya, make over sekadar suka-suka. Berkarya. Tanpa disangka, doa itu dimakbulkan. Minggu lalu mak mertua memberitahu hasrat itu di FB. Rupanya mertua juga salah seorang pembaca setia blog ini :) Tambah ku semangat!




SESI PERBINCANGAN
kami hanya berbincang melalui atas talian ; Whatsapp dan fb sahaja, seperti klien-klien lain kerana zaman telah maju. oh tidak, kerana faktor geografi yang menjarakkan kami. Namun hasil karya boleh dihasilkan tanpa perlu saya berada dilokasi tersebut sekalipun.



MASALAH 1 
ROMBAK SEMUA KABINET GANTUNG ATAS 
Untuk rekabentuk dapur yang baru, mereka cadangkan untuk saya utamakan elderly design (rekabentuk yang mengutamakan halangan bagi warga emas) sebagai persediaan awal mereka lebih efisyen beraktiviti setiap hari di dapur di hari-hari lewat usia . Maklumlah mereka berdua takkan serumah dengan kami dan adik beradik lain untuk setia membantu setiap hari dalam urusan di dapur.Semua kabinet  akan direndahkan ke paras boleh capai  dan lebih Universal design (rekabentuk mesra pengguna).Kekalkan barang lama dengan posisi baru. Agak unik, kerana ada yang perlu di alih di bawa turun sahaja dan ada yang perlu dirombak buang.


MASALAH 2
SIRKULASI  TUMPUAN KABINET PULAU
All-in-one untuk memudahkan kerja, mereka minta saya merekabentuk kabinet bertumpu untuk  semua kerja dapur, yang lebih dikenali sebagai  (island cabinet  worktop) kabinet pulau. Pasti pengaruh design enggeris yang menjadi pilihan,  ianya salah satu wishlist idaman mertua. 

Jadi mereka cadang untuk rombak semua kabinet  sedia ada termasuk sirkulasi asal yang berbentuk L. Kebanyakkan rumah di Malaysia berkabinet dapur mengikut susunan L, hampir ke semua rumah. Mungkin lebih ringkas dan lebih menjimatkan  ruang. Namun ruang  dapur mertua sangat luas, cadangan kabinet pulau agak sesuai untuk menggunapakai ruang sepenuhnya.

Contoh kabinet pulau


MASALAH 3 
GABUNG DAPUR BASAH DAN KERING SERTA LAUNDRY
Masalah utama di ruang ini adalah kelembapan dan kurang kemas (bersepah) kerana semua diletak di atas kaunter top. Sinki wet kitchen akan dikekalkan di ruangan laundry, manakala sinki dry kitchen akan di letak sinki satu lubang di kabinet pulau atau hanya sekadar gantikan dengan sinki membasuh tangan di dinding berdekatan tandas dapur.Hanya satu sinki kerja, satu sinki kasual.


MASALAH 4 
JUBIN LAMA LANTAI, KABINET DAN DINDING
Ruang dapur berjubin dinding "fashion lama". Mertua mahu makeover sepenuhnya, kepada warna yang lebih ceria dan cerah. Jubin lama membuatkan dapur kelihatan kelam dan gelap. 


MASALAH 5 
KABINET PARAS LUTUT SAHAJA
Semua kabinet sedia ada dirombak dan digantungkan paras paha dan paras kepala atau mata (eye-level) bagi menjadikan kabinet dapat digunakan dengan lebih mesra pengguna warga emas. Lantai dibiarkan lapang dan kosong pada paras dibawah lutut.Lebih pengudaraan dan dapat mengelakkan kelembapan dalaman kabinet.



MASALAH 6
PENGURUSAN POWER TRACK ELEKTRIK SETEMPAT
ke semua alatan elektrik seperti petisejuk,dep freezer dan kerja-kerja menggunakan gajet electrik difokuskan ke satu tempat, bukan lagi bercampur di ruang kerja kabinet atas atau bercampur aduk di kabinet pulau (akan datang). Semua disusun lebih bertumpu dan memudahkan aturan sistem servis wayar elektrik dan paip yang sistematik.



MASALAH 7
KONTRAKTOR TEMPATAN
Saya belum kenal lagi kedai yang baik dan harga berpatutan jika di Kelantan. Saya mencari harga yang murah berbanding kedai kabinet dapur yang lain, sesiapa boleh rekomen kedai kabinet dapur di kelantan untuk saya? atau mana-mana kontraktor dapur yang bermanfaat untuk klien-klien saya? 

Rumah mertua , kalau boleh saya mahu ia dihasilkan dengan sebaik mungkin bagi menyenangkan kehidupan kedua mertua saya. Itu saja yang mampu saya tolong dari jauh di rantau orang. Harapnya hasil ubahsuai pasti memuaskan. 



KHIDMAT MAKEOVER ,   DEKO BAJET ,   DEKO EXPRESS
Bagi sesiapa yang inginkan khidmat Makeover sebegini, untuk dapur ibu bapa, mertua adikberadik, kafe atau kedai atau pantry pejabat, mahu pun dapur sendiri boleh terus hubungi saya untuk dapatkan rekabentuk  dan idea penyelesaian.

Bukan hanya dapur, ruang lain pun boleh. 
Janji, tanya apa-apa saja, saya cuba membantu berkongsi manfaat.
Insyaallah saya cuba jawab.  


Sebarang pertanyaan, sila email ke : nurafdalilabas@gmail.com 

-------------------------------------------------------

Pelukis bangunan, ruang dan seni
FB: afdalila abas atau fb: afrchitect.co


Saturday, November 29, 2014

Dapur Baitul Madinah , Angkasa Apartment

:-) 





Teks: Afdalila Abas


Alhamdulillah, sempat mengemas rumah baru kami di angkasa apartmen sebelum berpindah ke pergunungan beberapa bulan lepas. Sekarang rumah itu terpaksa kami sewakan. Sebenarnya rumah itu dibeli ketika anak sulung kami dilahirkan dua tahun lepas. Pilihan dibuat bila harganya mampu milik untuk kami beli. taraf rumah rakyat.


Dapur apatmen antara ruang mencabar untuk memastikan ruang  tersebut dapat digunakan sepenuhnya. rekabentuk disiapkan. Dengan tema ceria merah menyala yang menjadi antara pilihan ramai.



5 Minit Bersama Ruang tamu Dr Saadah

Sembang petang semalam, teringat  bulan lepas saya sediakan 5minit make over ruang tamu untuk teman sekolah lama, Dr Saadah.

Pada awalnya, dia hanya ingin bertanya mengenai dinding tumpuan. Perkongsian melalui entri dinding tumpuan cukup membantu. Turut saya tekankan peranan wall unit untuk kemasan ruang tamu agar tmpak lebih terampil.

Namun, rekabentuk 3D ini hanya sekadar contoh untuk lebih memberikan kefahaman ringkas.

Deko bajet, deko express?
Dapatkan konsultasi anda hari ini.

Friday, November 28, 2014

Jom Renovasi Kabinet Dapur

Teks: Afdalila Abas

Alhamdulillah, fasa pertama renovasi dapur basah (outdoor wet kitchen) rumah saya berjalan lancar. Sibuk membeli bahan, mengubah keputusan dan berusaha  mencapai minimum bajet yang telah dirancang. 

Usaha merancang dan membentuk ruang dapur menjadi lebih mudah jika kita melakukannya dengan tertib. Namun, kita juga perlu bersedia dengan segala kemungkinan yang boleh membantutkan perancangan seperti pengubahsuaian mengambil masa lebih daripada sepatutnya, bahan dan kemasan yang dikehendaki sukar ditemu di pasaran, kos perbelanjaan melebihi belanjawan. 

Justeru itu, penting bagi kita:

  • Merangka kedudukan dan pelan lantai dengan jelas (dapatkan khidmat perekabentuk).
  • Melengkapi unsur pencahayaan dan pengudaraan yang berkesan.
  • Memastikan langkah keselamatan pada tahap terbaik.
  • Mengambil kira pembinaan atau kerja meroboh dinding diikuti pemilihan jenis atap yang sesuai. Jika behajat memasang panel lantai kayu, sebaiknya lindungi lantai itu dengan bahan antikulat dan pemeluwapan(Damp Moisture Proof).
  • Menentukan lokasi dan bilangan pemasangan pintu dan tingkap.
  • Memberikan perhatian terhadap pengubahsuaian sistem saluran paip dan pendawaian elektrik(terutama jika diletakkan dishwaher atau washing machine pada kabinet pasang siap).
  • Memasang meja kerja dan penyediaan sinki dan  kelengkapannya.
  • Menetapkan jenis dan kaedah turutan pemasangan kemasan dinding (terutama kemasan dinding jenis yang perlu dipasang sebelum pembinaan kabinet).



Kedudukan sinki (sink), dapur (stove), peti ais (fridge) dan ketuhar (oven) memainkan peranan yang penting dalam sebuah dapur. Jadi, perkara pertama yang perlu dilakukan sebelum kerja renovasi adalah menetapkan kedudukan barang-barang tersebut. 


1. SINKI 
Paling sesuai berhadapan atau berdekatan dengan bukaan udara atau tingkap di dapur. Ini bukan sahaja dapat memberi keselesaan kepada pengguana namun ia juga mengelakkan kelembapan dalam dapur terutamanya sinki yang sering dalam keadaan basah.
Cahaya matahari dan angin dari tingkap dapat mengeringkan sinki yang basah dengan lebih berkesan. Ini juga salah satu cara untuk memanjangkan jangka hayat kabinet dapur kita. Jangan lupa posisikan drainer(penyejat magkuk pinggan) ketika merancang kaunter kabinet. Kedudukan drainer sering kali di abaikan dalam merancang gabungan rekabentuk kaunter kabinet dan sinki.
  

2. DAPUR MASAK
Bagi dapur pula, ia adalah lebih sesuai diletak berhampiran dengan sinki. Ini bukan sahaja dapat memudahkan pengguna namun penyedut asap (hood) dapat mengeluarkan asap dari dapur dengan lebih berkesan. (Semakin pendek paip penyedut asap, maka ia dapat memaksimumkan fungsinya untuk mengeluarkan asap dari dapur kita). Lokasi yang agak sesuai bagi dapur adalah 1.5 kaki ke 3 kaki jarak dari sinki, jadi ruang antara sinki dan dapur adalah cukup untuk dua orang pengguna untuk melakukan kerjanya di depan sinki dan dapur.



3. KETUHAR DAN OVEN
Barang-barang elektrik voltan tinggi dan ia adalah tidak sesuai kalau diletak berhampiran dengan dapur memasak. Maka menyediakan jarak sekurang-kurang 3 kaki di antara dapur dengan ketuhar adalah lebih selamat bagi pengguna. Ketuhar biasa memerlukan ruang 600m x 600mm, jadi ia boleh diletakkan di kabinet bawah atau di dalam kabinet tinggi.
Demi mengoptimumkan kegunaan kabinet supaya kita boleh simpan lebih banyak barang, kabinet tinggi merupakan salah satu pilihan yang baik. Di samping itu, jika kita letak ketuhar dalam kabinet tinggi, maka kita boleh menentukan ketuharnya pada ketinggian yang sesuai dan menyenangkan kita semasa menggunakan ketuhar itu nanti.




4. PETI SEJUK 
Antara salah satu barang yang agak besar dalam dapur, kedudukan yang paling sesuai untuk peti ais adalah di hujung dapur supaya  ruang dapur tampak lebih luas. Kebanyakan pereka kabinet dapur suka letak kabinet tinggi di tepi peti ais supaya ia tutup tepi peti ais supaya hanya nampak pintu peti ais. Ini merupakan cara yang baik untuk menyembunyikan peti ais yang besar ini di dalam kabinet demi menjelmakan dapur yang lebih kemas dan teratur. Walaubagaimanapun, pengguna dinasihatkan supaya menjarakkan sekurang-kurang 4 inci di antara peti ais dengan kabinet tujuannya untuk membekalkan sistem pengudaraan yang lebih sempurna.





SEGITIGA DAPUR
Segitiga ini dimaksudkan dengan kedudukan sinki(wash), dapur(cook) dan juga peti ais(storage). susunan ketiga-tiga barang ini di tiga bucu masing-masing, menampakkan satu segitiga di dapur . Dengan adanya segitiga ini, kita dapat optimumkan pergerakkan kita dalam dapur.Rule of  thumb.


Ruang dapur yang sedang saya renovasi kabinetnya berbentuk L, dimana peti ais tu terletak di hujung L, ini adalah supaya peti ais yang besar tidak menghalang gerakan aktiviti kebiasaan penyediaan makanan di dapur dan dapat melindungi ruang  dapur dari pandangan terus tetamu dari meja santapan di ruang makan. Sinki satu lubang yang bersaiz agak besar dan dalam dipilih untuk keselesaan kerja dapur.