Thursday, September 25, 2014

Aksi untuk legasi sendiri ?

Teks: Afdalila Abas


Rasa baru semalam saya meminta izin suami untuk bersama bergabung dengan ABDR , berdaftar dan cuba mengorak langkah perlahan. Cubaan mencipta legasi. Pejam celik, September sudah di penghujung. Bulan ini suami banyak dijemput menghadiri kursus dan program di pusat bandar. Saya dan suami kerap turun ke sana memenuhi tuntutan urusan kerja dan saya setia menjadi teman perjalanannya.


Pusat bandar kota kinabalu dan kediaman kami di kaki gunung kinabalu, bukanlah sejengkal. Memakan masa beberapa jam untuk ke sana, jalan pula penuh liku bergunung-ganang. Bulan ini hampir sahaja 10 kali kami turun bermalam, check in sana dan sini, bertukar selera apa hotel yang ada. Rasa seperti pelancong pun ada!


Setiap kali turun menemani suami, saya turut sibuk mengatur masa dan  jadual dengan fleksibel. Mencuri peluang yang ada untuk ke majlis ilmu, menghadiri seminar-seminar semasa,  mengadakan kelas renang dan bertemu kawan-kawan. Meluaskan jaringan kenalan.

Seronok dan bebas, walaupun kelihatan sibuk!


Itulah yang menjamin untuk saya terus bersama ABDR. Namun hampir terpaksa mencuri masa untuk menyiapkan tugasan entri yang diberikan. kehilangan idea, serabut dan penat sedikit mengganggu. Tahun lalu saya membaca post mentor saya ini : Suami berkursus, isteri bercuti , kini saya sendiri yg mengalaminya. Impian menjadi nyata. Ketika saya menulis post ini, saya tersenyum bangga penuh inspirasi menonton rancangan Wanita Hari Ini, di bilik hotel. Figura selebriti Kris Dayanti sedang mempromosi legasi kerjayanya yang lewat 16 tahun berlalu. Legasi kita bagaimana?


Sejak bersama ABDR, saya dihujani peluang yang bertubi-tubi membahagiakan, sehinggakan saya lemas kehilangan fokus. Mujurlah mentor Puan Masayu tidak jemu menelunjuki jalan-jalan menguruskan rezeqi , ruang dan peluang. Masih saya menyesuaikan diri dengan hari-hari ibarat merpati terbang bebas ini. Mahu bertukar menjadi helang terbang tinggi pula!


Pengalaman dalam bidang senibina membuatkan saya tidak teragak-agak untuk memberi khidmat senibina kepada kenalan sekeliling. Menjadikan pengalaman ini sebagai kepakaran yang akan mengukir legasi itu sudah semestinya. Insyallah.


Pada awalnya, saya tidak cukup berkeyakinan kerana faktor geografi kediaman saya jauh di seberang laut china selatan, karib di puncak tertinggi asia tenggara, gunung kinabalu. Kerja-kerja projek senibina dalam pengetahuan dan pengalaman yang lalu, memerlukan on site supervision. Tidak mungkin saya terpaksa terbang ke sana-sini untuk menawarkan khidmat senibina. Alhamdulillah, mentor memberi tunjuk ajar dan bantuan info yang sangat berguna, tanpa perlu pusing atau terbang ke mana sekalipun, tidak menang tangan terus memberi manfaat. Terima kasih ABDR.


Hari-hari setahun jagung ini saya kembali sibuk, mengumpul semula portfolio-portfolio rekabentuk, rujukan untuk memberi khidmat dan konsultasi harian berkisar rekabentuk senibina yang saya tawarkan kepada pelanggan. Saya mula membuka tawaran menerima tempahan rekabentuk seperti penataan dalaman rumah, ubahsuai rumah dan dapur, hiasan laman dan taman secara kecil-kecilan atau binaan rumah baru hingga skala projek perumahan beberapa pintu untuk tanah individu.


Memuatnaik kerja-kerja lepas yang pernah dibuat. Menambah baik mutu hasil kerja dan kemahiran yang ada. Memperbaharui pejabat baru, firma sendiri. Menfokuskan matlamat dan menyenaraikan kerja-kerja yang perlu ditambahbaik. Seketika rehat dari aktiviti dan kerja harian, rasa seperti tersedar dari lamunan. Urusan-urusan ini tak ubah rasanya seperti urusan berpindah ke luar negara!






Ada destinasi baru sedang dituju. Legasi.

0 comments :

Post a Comment