Monday, October 13, 2014

korban kerjaya sebuah pengorbanan yang kaya dan berjaya

Selamat Hari Raya Korban ;)

RAYA HAJI 2014
Solat raya pagi ini di masjid pekan ranau diimamkan oleh ahli nasyid tersohor bekas kumpulan Raihan, Ustaz Nazrey Johanis, bergabung dengan khutbah penuh semangat oleh Ustaz Hadi. Tajuknya, Korban sebagai tanda ketaqwaan sejati.




Memetik dari khutbah ustaz, "Bukan darah yang mengalir dari sembelihan yang sampai kepada Allah, tetapi ketaqwaan dari korban yang dapat kita laksana dengan kesanggupan kita memikirkan hak untuk orang lain."  Alhamdulilah. Tahun ni kami melaksanakan ibadah  korban di kemboja, skim yang disediakan oleh Bank Islam. Saat-saat akhir , mujur Wan Hafizi, pegawai Bank Islam Kuala Lumpur, rakan sekolah lama, sudi membantu menguruskan permohonan urusan korban, hanya melalui atas talian. Alhamdulillah. Agak berbaloi dengan kemampuan kami, RM280.



KEMASYARAKATAN
Alhamdulilah, tahun ini diberi kesempatan mewakili majlis korban di kg.siba, Bundu Tuhan. Menemani suami yang menjadi wakil pertubuhan ikram kota kinabalu. Berteduh di surau kecil yang diuruskan oleh Hidayah Centre Sabah, hujan renyai-renyai dan cuaca agak tidak menentu. Angin bertiup agak kuat, suhu sejuk sesuai dengan lokasi topografinya. Sedang pihak lelaki sibuk melapah daging, saya mengambil kesempatan mengemaskan surau yang kelihatan jarang digunakan. Sememangnya wajar ia kelihatan sebegitu, kerana kami dikhabarkan kampung itu hanya mempunyai 14 keluarga yang beragama islam.


Sambil itu, saya nengambil peluang melakarkan susunan dalaman dan ubahsuai surau tanpa diminta. Itulah hobi baru saya. Ya, kita perlu kaya dan berjaya, lagi-lagi untuk majukan fasiliti dan insfraktruktur umat dan agama. Sampai bila kita hanya menunggu bajet kerajaan saban tahun untuk kemajuan masa hadapan? Ubah paradigma, pengorbanan semua akan menghasilkan SINERGI. Moga lakaran ubahsuai surau ini menjadi impian yang dapat direalisasikan suatu hari nanti. Doakan ya.



Hari kedua raya kali ini, kami masuk ke kawasan pedalaman kg.timbua untuk meraikan majlis korban bersama orang kampung. Kerjasama di antara PERKIDS negeri sabah dan daerah ranau. Suka saya melihat rakan-rakan suami (wanita bekerjaya) agak kekok untuk rewang bersama mak cik dan nenek di pedalaman sabah yang tidak dikenali ini, kekok bersosial, apatah lagi untuk memasak dan berkomuniti. Bagai ayam dan itik, bahasa yang berbeza, gaya dan usia agak jelas menjadi tembok tara.   

Langsung tidak dapat difahami, tapi tiada alasan menjadi peramah seperti sediakala. Senyuman, semua orang pun memahami bahasa mesra ini. Rata-rata mereka santai mengunyah tembakau sambil membuat kerja. Sigut nama aktiviti ini dipanggil disini. Agaknya kalau saya turut bersigut bersama mereka, pasti suasana lebih mesra. Bagaimana rasa sebenarnya? Ada peluang, boleh ke saya cuba?




PEKERJAAN
Menjadi kebiasaan orang akan bertanya apa pekerjaan saya, jawapan yang diberikan pasti menjadikan mereka bertukar wajah kehairanan. Saya seorang pelukis ;) pelukis bangunan, ruang dan seni. Kadang-kadang saya jawab dengan jelas, sebagai arkitek. Tapi bagi orang kampung dan kawasan pedalaman, kalau bekerja sendiri, tidak mungkin kerja-kerja profesional. Mereka makin hairan, apakah saya sesat untuk datang tinggal di daerah ini.
Bak kata jutawan internet, irfan khairi, kerja SENDIRI atau bermajikan  dua-dua menuntut komitmen dan displin, yang bezanya satu untuk kemajuan potensi diri dan satu untuk kemajuan prestasi diri.



KEUTAMAAN
Orang kampung di pedalaman ini sebenarnya jauh lebih selesa dan bahagia, konsep berhutang bukan menjadi amalan biasa. Ketiadaan infrastruktur menyelamatkan mereka dari menjadi penghutang. Tidak memerlukan kereta dan rumah lebih dari keperluan asas. Pokok dan sayur ditanam disekeliling rumah, ditanam sendiri untuk makanan haian, lebihan boleh dijual sekadar suka-suka, bertukar berkongsi apa yang ada di laman masing-masing. Lebih bebas dari hidup orang berjaya seperti kita.


Berjaya? Kita takut untuk berkorban, kerana kerjaya adalah satu anugerah kehidupan yang dipandang manusia. Walhal kita hidup tidak seperti yang kita mahu, demi mengelak dari diperkatakan oleh orang yang kita tidak suka, dan kita tetap meneruskan kehidupan sebegitu. Itu keutamaan orang kebanyakkan kita. 


Apa pengorbanan yang kaya berjaya dan membahagiakan kita setakat ini?

0 comments :

Post a Comment